Jumaat, 30 November 2018

Chong Wei iringi dua beregu ke suku akhir


 
ARKIB : 14/08/2009
FAIRUZIZUAN Tazari (kiri) dan Zakry Latif berjaya menewaskan pasangan Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Rian Sukmawan dalam pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Hyderabad, semalam. - AFP

HYDERABAD - Pemain perseorangan No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei bersama beregu lelaki mara suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di sini, semalam.

Bagaimanapun, kem Malaysia terpaksa menerima perkhabaran buruk apabila beregu wanita, Chin Eei Hui -Wong Pei Tty yang juga pilihan pertama kejohanan tewas kepada pasangan Jepun, Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna 19-21, 21-19, 12-21.

Chong Wei yang turun selaku pemain pilihan pertama berjaya menewaskan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh dengan straight set 21-13, 21-17 pada saingan di pusingan ketiga, semalam.

Pemain yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu hanya mengambil masa 33 minit untuk menyingkirkan pemain pilihan ke-14 kejohanan tersebut dan bakal berdepan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro di suku akhir hari ini.

Sony selaku pemain pilihan keenam kejohanan mudah menjinakkan pemain tuan rumah, Chetan Anand 21-16 21-16.

Turut mengiringi Chong Wei ke suku akhir ialah beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong apabila menumbangkan pasangan Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato 21-14, 21-17.

Koo dan Tan sebagai pilihan kedua kejohanan mengambil masa 47 minit untuk menang perlawanan tersebut dan bakal berdepan dengan pasangan Amerika Syarikat, Howard Bach-Tony Gunawan di suku akhir.

Howard dan Tony yang menyingkirkan beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada awal saingan, menang straight set ke atas pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 21-18, 21-18.

Sebelum itu satu lagi beregu lelaki negara, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari mudah menjinakkan pasangan muda Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Rian Sukmawan 21-14 21-17 dalam perlawanan tidak sampai setengah jam.

Menanti mereka di suku akhir nanti ialah beregu bukan pilihan dari Korea Selatan, Cho Gun Woo-Yoo Yeon Seong yang menewaskan pasangan Taiwan, Hu Chung Shien-Tsai Chia Hsin, 16-21 21-8 21-19.

Sementara itu, pemain veteran negara, Wong Choong Han gagal mengatasi ketangkasan pemain China, Chen Jin apabila kalah straight set, 12-21, 7-21.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YKGn7T00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan