Isnin, 26 November 2018

Chong Wei ketuai cabaran separuh akhir


ARKIB : 27/06/2009
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Seperti yang dijangkakan, Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menerajui barisan pemain pilihan mara ke saingan separuh akhir Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di sini, semalam.

Juara Terbuka Indonesia itu terus cemerlang apabila menewaskan pemain Jepun, Kenichi Tago 21-9, 21-15.

Dengan kehadiran jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, Chong Wei seakan mendapat suntikan semangat baru untuk meneruskan rentak permainannya secara konsisten berbanding perlawanan sebelumnya ketika menentang Zhou Wenlong kelmarin.

"Saya begitu gembira apabila jurulatih (Misbun) berada di sini untuk menyaksikan permainan saya dan ia memberikan saya satu suntikan semangat untuk bermain dengan lebih baik. Selepas ini saya akan bertemu dengan pemain China, Hu Yun pada peringkat separuh akhir dan saya berharap semuanya akan berjalan dengan lancar tambahan pula dengan kehadiran jurulatih saya di sini," katanya.

Turut mengiringi Chong Wei ke separuh akhir ialah pemain perseorangan wanita, Wong Mew Choo yang menundukkan cabaran pemain Singapura, Xing Aiying dengan keputusan 21-15, 21-17.

Sementara itu, pemain veteran negara, Wong Choong Hann yang menewaskan pemain China, Gao Huan dengan keputusan 21-15, 21-10 turut melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Pasangan beregu wanita, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty juga tidak menghadapi sebarang masalah untuk menempah slot ke separuh akhir apabila berjaya membenam cabaran pasangan dari Jepun, Eto Rei-Wakita Yu manakala beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut berjaya mengalahkan pasangan dari China, Sun Junjie-Tao Jiaming.

Agak malang, pasangan Fairuzizuan Tazari-Zakri Abdul Latif gagal untuk ke separuh akhir apabila tumpas kepada pasangan senegara Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong.

Dalam pada itu, keputusan mengenai penyertaan Chong Wei pada kejohanan sulung Mini Olimpik 29 Julai ini, terletak sepenuhnya di tangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Misbun berkata, selain itu ia juga bergantung kepada Chong Wei sendiri sekiranya beliau ingin beraksi pada kejohanan tersebut.

Beliau berkata, sebagai jurulatih, beliau hanya mampu memberikan pandangan serta pendapat sahaja dan terpulang kepada kedua-dua belah pihak untuk membuat keputusan.

"Sekiranya beliau ingin bermain, saya tidak ada sebarang bantahan tetapi sekiranya beliau menghadapi sebarang kecederaan pada waktu ini, secara automatik beliau tidak akan menyertainya," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam sambil menambah, pada waktu ini fokus utama akan diberikan kepada Kejohanan Dunia di Hyderabad, India, kelak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Xx1ikjjD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan