Isnin, 26 November 2018

Kehebatan Chong Wei


 
ARKIB : 29/06/2009
Kehebatan Chong Wei
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my
Lee Chong Wei

JOHOR BAHRU - Minggu lepas, dia muncul juara Terbuka Indonesia mengalahkan Taufik Hidayat di Stadium Istora Senayan, stadium yang sering menjadi igauan buruk pemain badminton Malaysia dalam mencatatkan kemenangan.

Namun, Datuk Lee Chong Wei ketika itu walaupun terpaksa berhadapan dengan sorakan mengejek ribuan peminat badminton Indonesia, mudah mengalahkan juara Olimpik 2004 itu, 21-9, 21-14.

Dan semalam, Chong Wei sekali lagi membuktikan keunggulan statusnya sebagai pemain nombor satu dunia selepas merangkul kejuaraan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia dengan membenam cabaran pemain China, Chen Long 21-16, 21-9, pemain yang pernah mengalahkannya di Terbuka India, Mac lalu selepas mengalami keracunan makanan.

Seakan mudah menundukkan pelapis juara China dalam pembikinan itu, Chong Wei hanya memerlukan masa 31 minit untuk mengatasi Juara Dunia Remaja 2007 malah langsung tidak memberi peluang kepada Chen Long untuk menguasai perlawanan.

"Saya perlu bermain secara serangan selepas mula terasa sakit di bahagian belakang kesan daripada kecederaan yang dialami pada pusingan pertama kejohanan. Namun, ia tidak serius, tetapi saya perlu memulihkannya segera.

"Chen Long berjaya mempamerkan aksi terbaiknya dan tidak mustahil dia mampu menyinar pada masa akan datang serta menjadi salah seorang pemain ternama. Mengenai persiapan untuk Kejohanan Badminton Dunia di Hyderabad, India, persiapan rapi akan dibuat dalam tempoh enam minggu ini dan saya akan berusaha memulihkan kecederaan belakang ini secepat mungkin," katanya.

Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek dalam pada itu berkata, kecederaan yang dihadapi Chong Wei tidak begitu serius tetapi ia harus dipulihkan segera bagi membolehkannya menyiapkan diri untuk kejohanan dunia.

Katanya, meskipun mengalami kecederaan, Chong Wei mampu mempersembahkan corak permainan pantas dan lebih menumpukan kepada serangan bagi memendekkan waktu perlawanan.

"Kita perlu stabilkan dia dahulu sebelum memberikan latihan intensif kepadanya sebagai persiapan untuk kejohanan dunia dan yang pasti corak latihan yang bakal diberikan adalah sedikit berlainan daripada sebelum ini.

"Kita juga akan menyiapkan mentalnya supaya dia dapat mengawal dan merasai setiap permainan yang dilaluinya kerana ia penting untuk menjadikannya juara pada kejohanan akan datang," katanya.

Sementara itu, kehebatan beregu utama negara, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong sukar digugat selepas berjaya mencatatkan kemenangan mudah ke atas pasangan muda negara Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dengan keputusan 21-11, 21-13 dalam tempoh 21 minit.

"Kami sudah bertemu sebanyak tiga kali pada tahun ini dan perlawanan ini paling mudah. Kemungkinan mereka gugup dan masih belum mampu untuk mengadaptasi dengan keadaan sekeliling sehingga membuatkan kami berjaya mencatat kemenangan mudah," kata Kien Kiat.

Malang buat pasangan beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui ekoran terpaksa akur dengan kekalahan kepada beregu bukan pilihan dari China, Ma Jin-Wang Xioli selepas tewas mudah 21-9, 21-11.

Kecuaian mengawal permainan dengan baik membuatkan pasangan negara sering melakukan kesilapan mudah sehingga membuatkan Ma Jin-Wang Xioli mendapat mata dengan mudah dan menamatkan permainan dalam tempoh kurang 30 minit.

Jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata, beliau agak terkilan dengan kekalahan beregu wanita negara dan kemungkinan mereka tertekan dengan status pilihan kejohanan memandangkan tidak ramai pemain bertaraf dunia berada pada kejohanan kali ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5XxCi91x0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan