Ahad, 25 November 2018

Chong Wei rangkul anugerah SAM-100PLUS 2008


ARKIB : 13/06/2009
SUBANG JAYA - Datuk Lee Chong Wei menebus kegagalan mengejutnya dalam pusingan kedua Terbuka Singapura, kelmarin dengan muncul pemenang Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2008 pada majlis penyampaiannya di Hotel Sheraton, Subang, semalam.

Perseorangan badminton Nombor 1 dunia itu turut menggondol ganjaran RM10,000 sekali gus melengkapkan anugerah bergandanya selepas bergelar Olahragawan Kebangsaan 2008 anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) pada April lalu.

Dia menewaskan empat lagi calon lain - ratu skuasy dunia, Nicol David; beregu badminton wanita, Wong Pei Tty-Chin Ee Hui; Cheng Chu Sian (memanah) dan pelumba basikal, Azizulhasni Awang.

Anugerah berprestij yang diperkenalkan pada 1983 itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada Ketua Jurulatih Badminton Negara, Rashid Sidek yang mewakili Chong Wei turut menyaksikan penguasaan sukan badminton bagi tahun ketiga berturut-turut sejak 2007 selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Wong Mew Choo.

Kesemua calon dinilai berdasarkan prestasi sepanjang tahun lalu dengan sebutir pingat perak Sukan Olimpik Beijing, gelaran Terbuka Malaysia kelima dan juara Siri Super Master Akhir serta ranking No. 1 dunia menjadi antara pencapaian gemilang Chong Wei.

"Saya gembira memenangi anugerah berprestij ini dan ia bakal menjadi perangsang dalam menghadapi misi utama tahun ini di Hyderabad, India, Ogos nanti," kata Chong Wei.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5XwYla6K9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan