Jumaat, 30 November 2018

Chong Wei juara Terbuka Macau


 
ARKIB : 24/08/2009
Chong Wei juara Terbuka Macau
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei jelas terlalu gagah buat rakan senegara, Wong Choong Hann selepas muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Macau 2009, semalam sekali gus menebus kegagalannya dalam Kejohanan Dunia, baru-baru ini.

Pemain No. 1 dunia yang juga pilihan pertama kejohanan yang bertaraf Grand Prix Emas itu cuma memerlukan 36 minit untuk menang 21-15, 21-19 dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Tap Seac Multisport Pavilion.

Kekalahan Choong Hann turut meleburkan harapannya untuk meraih gelaran sulung antarabangsa tahun ini sambil memperbaiki catatan terbaik, mara ke separuh akhir Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Johor Bahru, Jun lalu.

Gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula mengesahkan gelaran beregu lelaki Terbuka Macau dengan menewaskan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah 21-14, 17-21, 21-12 dalam perlawanan akhir selama 34 minit yang turut dikuasai pemain Malaysia.

Chong Wei yang terkandas seawal suku akhir Kejohanan Dunia di Hyderabad kepada Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia, membawa pulang ganjaran juara Terbuka Macau lebih RM30,000 sementara Choong Hann sekadar berpuas hati dengan RM15,000.

Kien Keat-Boon Heong yang tahun ini menjuarai Terbuka Switzerland dan Terbuka Malaysia meraih ganjaran juara, RM28,751 sementara RM16,067 menjadi habuan gandingan veteran naib juara Terbuka Thailand dan Terbuka India, Tan Fook-Wan Wah.

China ternyata unggul dalam tiga lagi acara dengan menguasai beregu campuran, perseorangan wanita dan beregu wanita menerusi He Hanbin-Yu Yang, Wang Yihan dan Du Jing-Yu Yang.

Hanbin-Yang menundukkan gandingan campuran Indonesia, Hendra Aprida Gunawan-Vita Marissa dalam tempoh 29 minit dengan 21-14, 21-9; Yihan mengetepikan rakan senegara, Jiang Yanjiao 16-21, 22-20, 21-12 selepas bertarung 59 minit.

Yu Yang sekali lagi turun dalam beregu wanita untuk bergandingan dengan Du Jing yang menewaskan satu lagi gandingan senegara, Yang Wei-Zhang Jiewen 21-16, 21-11 dalam perlawanan yang memakan masa 23 minit.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YKiwoN6q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan