Ahad, 25 November 2018

Chong Wei mara, Hafiz kandas


ARKIB : 27/05/2009
Oleh YULPISMAN ASLI
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN - Jaguh elit kebangsaan, Muhammad Hafiz Hashim menjadi kejutan terbesar hari pertama Sirkit Badminton Kebangsaan Proton Terbuka Pahang apabila tersingkir pada pusingan kedua di Stadium Tertutup Majlis Sukan Pahang (Sukpa), Indera Mahkota, malam tadi.

Hafiz yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dikejutkan dengan kekalahan 17-21, 21-14, 19-21 kepada pemain pelapis negara, Liew Daren.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu memudahkan lagi peluang jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk mencari gelaran ketiga selepas muncul juara 2005 dan 2007.

Semalam, Chong Wei, pilihan pertama tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pemain remaja, Tan Aik Quan 21-8, 21-11.

Naib juara Sukan Olimpik itu kini akan menentang pemain pelapis kebangsaan, Tan Chun Seang yang mara selepas menyingkirkan Iskandar Zulkarnain 14-21, 21-14, 21-13.

Turut meneruskan cabaran adalah pilihan ketiga, Kuan Beng Hong, yang menewaskan pemain muda negara, Lim Fang Yang 21-17, 21-9 untuk berdepan Mohd. Arif Abdul Latif, yang terdahulu menundukkan Zulfadli Zulkifli 21-12, 21-17.

Pemain veteran, Muhd. Roslim Hashim pula menamatkan cabaran pemain pelapis kebangsaan dan pilihan keempat, Chong Wei Feng 21-16, 21-17 hanya dalam masa 45 minit.

Roslin, yang mengetepikan Muhd. Syawal Ismail dari 21-15, 21-14 pada pusingan pertama, kini akan bertemu pemain Melaka, Syed Akbar Shah Syed Mustakim.

Sementara itu saingan beregu lelaki pula menyaksikan tiga pasangan pilihan, Koo Kein Kiat-Tan Boon Heong, Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menepati ramalan layak ke suku akhir.

Beregu utama negara, Kien Kiat-Boon Heong menyingkirkan bekas pasangan kebangsaan, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen 21-12, 17-21, 21-14, manakala Fairuzizuan-Zakry mengenepikan kombinasi baru, Roslin-Salim Sameon 21-12, 21-15.

Pasangan veteran, Tan Fook-Wan Wah pula mengalahkan beregu remaja kebangsaan, Chan Peng Soon-Mohd. Razif Latif 21-19, 21-13.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5XvRTIDzZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan