Ahad, 25 November 2018

Chong Wei juara


 
ARKIB : 30/05/2009
Chong Wei juara
Oleh ZULKIFLI MANZOR
utusanpahang@yahoo.com.my
Lee Chong Wei bersama hadiah kemenangan selepas muncul juara perseorangan lelaki badminton Terbuka Pahang di Kuantan, semalam.

KUANTAN - Datuk Lee Chong Wei mudah mencipta kejuaraan ketiga Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Proton Terbuka Pahang apabila mengalahkan Chan Kwong Beng pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Sukpa, Indera Mahkota di sini semalam.

Pemain No.1 dunia, Chong Wei yang menjuarai kejohanan edisi 2005 dan 2007, membenam cabaran pemain pelapis negara, Kwong Beng 21-11,21-19 dalam masa setengah jam.

Penentuan juara bagi acara beregu lelaki pula menyaksikan pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tewas kepada gandingan Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari-Mohd. Zakry Ab. Latif 21-14,12-21, 21-12.

Sementara itu, Lydia Cheah mengesahkan kejuaraan perseorangan wanita apabila mudah menundukkan Sannatasah Saniru 21-15, 21-13 dalam masa 29 minit.

Mengulas kemenangan mudah ke atas Kwong Beng, Chong Wei berkata, dia menganggap penyertaannya di kejohanan tersebut sebagai pemanas badan sebelum menyertai Terbuka Singapura pada 9 hingga 14 Jun ini diikuti Terbuka Indonesia.

Menurutnya, penyertaannya pada kejohanan itu juga sebagai tanda sokongan kepada penganjuran kejohanan badminton tempatan.

Lantaran itu, katanya dia tidak begitu tertekan di sepanjang kejohanan berlangsung.

''Saya akan terus memberi sokongan terhadap mana-mana kejohanan tempatan.

''Selepas ini saya akan memberi tumpuan untuk persediaan ke Terbuka Singapura dan Indonesia pula," katanya.

Mengulas mengenai sasarannya pada Terbuka Singapura dan Indonesia, Chong Wei berkata, menang atau kalah pada kejohanan tersebut tidak penting.

''Apa yang penting ialah untuk merasai bahang perlawanan,'' katanya.

Lain-lain keputusan menyaksikan juara beregu wanita pula milik pasangan Amelia Anscelly-Lim Yon Loo yang menundukkan pasangan Goh Liu Ying-Nairul Suhada Abdul Latif dengan keputusan 21-12, 23-21 dalam tempoh 25 minit.

Penentuan juara acara beregu campuran memihak kepada Koo Kien Kiat-Ng Hui Lim yang menumpaskan pasangan Mohd. Lutfi Zaim-Lim Yin Loo 14-21,21-13,21-18.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XvfJ9Azj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan