Ahad, 26 November 2017

Chong Wei beralih tumpuan ke Sukan Olimpik

ARKIB : 17/06/2008
SINGAPURA - Perseorangan utama negara, Lee Chong Wei kembali mengikuti latihan berat dan sesi persiapan mental bagi memastikan momentum selepas menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, kelmarin.

Antara sekarang hingga Sukan Olimpik Beijing Ogos ini, Chong Wei tidak perlu bimbang dengan sebarang kejohanan melainkan memberi tumpuan dan meningkatkan moral untuk merangkul emas sulung Olimpik untuk Malaysia.

"Impian setiap atlet adalah merangkul emas Sukan Olimpik, saya juga tidak terkecuali. Tetapi adalah sukar untuk meramalkan juara kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan.

"Seperti tahap kecergasan, keadaan diri semasa, persediaan dan bagaimana anda menangani situasi pada hari perlawanan," kata Chong Wei.

Jika prestasi semasa menjadi panduan, pertembungan merebut emas acara perseorangan itu adalah antara pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China dan Chong Wei.

"Tetapi jangan lupa, kadang-kadang pemain pilihan tidak selalu memang. Ada wujud kecenderungan untuk pemain bukan pilihan menonjol pada sesuatu kejohanan utama. Mungkin kita dapat lihat kali ini di Beijing," katanya.

Chong Wei akan berehat untuk beberapa hari sebelum mengikuti sesi latihan di bawah jurulatih Misbun Sidek.

"Semua berjalan lancar di Terbuka Singapura tetapi masih perlu banyak latihan gigih dan sudah pasti Misbun akan menggandakan latihan keras sebelum pergi ke Beijing," kata Chong Wei.

Dalam pada itu, Misbun mengakui bahawa latihan keras akan menyusul selepas ini.

"Saya tidak berkata Chong Wei sudah cukup baik sekali. Tetapi saya boleh lihat bahawa persediaan mentalnya cukup mantap untuk menghadapi sebarang situasi dalam gelanggang.

"Cara persembahannya pada Terbuka Singapura mencerminkan sikapnya yang tidak gentar dengan sebarang lawan," kata Misbun.

Beliau telah memaklumkan kepada Chong Wei supaya bersedia menerima perubahan dalam corak latihan dan perlu beralih dari zon selesa.

Dalam pada itu, kejayaan beregu negara Mohd. Zakry Abdul Latif dan Mohd. Fairuzizuan Tazari merangkul gelaran Terbuka Singapura telah memberi keyakinan dan harapan bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zb0N4jut

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan