Sabtu, 18 November 2017

Chong Wei samai Misbun



RKIB : 30/03/2008

KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei berjaya menyamai pencapaian hebat jurulatihnya, Misbun Sidek apabila merangkul kejuaraan kebangsaan keenam berturut-turut di Alor Star, semalam.

Bekas beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula membalas segala kritikan dengan mempertahankan gelaran beregu lelaki, Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir.

Chong Wei, mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam semua kejohanan tempatan sejak enam tahun lalu apabila mudah menundukkan pemain muda, Tan Chun Seang 21-17, 21-7 dalam masa 25 minit.

Kemenangan ini bukan saja membolehkan pemain nombor dua dunia itu mengulangi kehebatan Misbun, malah meneruskan dominasinya pada Grand Prix Kebangsaan Akhir sejak mengalahkan bekas pemain kebangsaan, Ismail Saman pada final 2002.

Sementara itu, Kien Keat-Boon Heong boleh menarik nafas lega kerana akhirnya merangkul gelaran pertama tahun ini selepas menewaskan beregu nombor empat negara, Ong Soon Hock-Tan Bin Shen 21-14, 14-21, 21-17.

Keyakinan

Meskipun hanya kejohanan tempatan, namun kejayaan tersebut mampu membantu pasangan muda itu mengembalikan keyakinan, terutama selepas dikritik hebat ekoran kegagalan buruk di Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Dalam perseorangan wanita, Julia Wong merangkul kejuaraan kebangsaan keduanya selepas berhempas pulas menewaskan pemain berusia 17 tahun, Tee Jing Yi 21-13, 14-21, 21-10.

Ini merupakan kemenangan kedua buat pemain wanita nombor dua negara itu selepas muncul juara pada 2005.

Kejuaraan beregu wanita pula menjadi milik pilihan kedua, Fong Chew Yen-Mooi Hing Yau yang dipaksa berkerja keras untuk mengalahkan pasangan muda, Lydia Cheah-Tee Jing Yi 21-14, 16-21, 21-16.

Sementara itu Mohd. Razif Abdul Latif-Chong Sook Chun mengejutkan pilihan pertama, Lim Khim Wah-Ng Hui Lin 21-7, 21-19 untuk muncul juara beregu campuran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yqKQEZOy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan