Rabu, 29 November 2017

Chong Wei tidak mahu gopoh



ARKIB : 06/08/2008
BEIJING - Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei (gambar) enggan tergopoh-gopoh apabila ditanya mengenai peluangnya untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Pemain nombor dua dunia itu sebaliknya dengan tenang berkata, dia akan mengambil perlawanan satu demi satu tanpa mahu terlalu memikirkan tentang kejuaraan sebaik kejohanan bermula, Sabtu ini.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk memenangi setiap perlawanan, selangkah demi selangkah. Saya tidak mahu mengharap yang bukan-bukan kerana saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri,'' kata Chong Wei kepada pemberita, semalam.

Chong Wei bagaimanapun mengakui, sebaik menjejakkan kaki ke Beijing, tekanan semakin dirasai, membayangkan cabaran hebat yang bakal diberikan jagoan China, selain cuba mencari emas pertama negara.

Malaysia hanya pernah memenangi tiga pingat dalam sejarah Sukan Olimpik, semuanya menerusi badminton - satu perak dan dua gangsa.

Walaupun dianggap antara gergasi badminton dunia, namun pemain negara itu tidak pernah meraih emas pada Temasya Olimpik, malah tidak pernah memiliki juara dunia.

Chong Wei, 26, melangkah ke Beijing dengan keyakinan tinggi selaku juara Terbuka Malaysia dan Singapura tahun ini, selain mempamer aksi hebat ketika menjinakkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan pada separuh akhir Piala Thomas, Mei lalu.

Selain Lin Dan, Chong Wei, yang tersingkir pada pusingan ketiga di Olimpik Athens empat tahun lalu juga boleh membayangkan cabaran sukar daripada dua lagi jaguh tuan rumah, pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai dan juara Seluruh England, Chen Jin.

"Saya fikir atlet China mempunyai kelebihan kerana mereka akan bermain di China.

"Bagaimanapun saya suka dengan gelanggang kejohanan - tidak berangin dan cahaya lampunya juga amat selesa,'' ujarnya lagi.

Chong Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain nombor satu Singapura, Ronald Susilo, Isnin ini.

Biarpun tidak memiliki pencapaian atau reputasi besar, namun Ronald adalah pemain yang digeruni kerana telah menundukkan Lin Dan pada pusingan pertama Olimpik Athens 2004.

- AFP



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zrjZSrdY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan