Ahad, 26 November 2017

Chong Wei, Boonsak ancaman China

ARKIB : 20/05/2008
JAKARTA - Pemain badminton negara mungkin sudah hilang kepercayaan daripada pemimpin dan peminat sukan tanah air untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Beijing, namun mereka masih menjadi pilihan ketua jurulatih China, Li Yongbo.

Yongbo semalam menyenaraikan Malaysia, Korea Selatan, Indonesia, Denmark dan Thailand sebagai pencabar terkuat mereka untuk mengungguli pingat emas Olimpik.

Menurut Yongbo, Malaysia dan Thailand mampu menjadi ancaman terbesar China untuk memenangi emas dalam perseorangan lelaki, Korea Selatan pula menjadi ancaman utama dalam beregu lelaki.

Denmark, menerusi juara Seluruh England, Tine Rasmussen mampu mencabar kejuaraan perseorangan wanita, manakala Indonesia merupakan halangan terbesar negara itu untuk meraih emas dalam beregu campuran.

Katanya, walaupun China mengungguli kejuaraan Piala Thomas dan Uber, namun ia bukan jaminan mereka mampu mendominasi acara individu kerana kekuatan pemain mereka sudah semakin disamai oleh negara lain, malah dalam sesetengah acara pemain utama telah diatasi.

"Memenangi Piala Thomas dan Uber amat penting buat pemain kami untuk meningkatkan motivasi apabila beraksi pada Sukan Olimpik, kami menerima tentangan yang cukup hebat di Jakarta.

"Namun, mendominasi Piala Thomas dan Uber tidak bermakna kami mampu menguasai Sukan Olimpik. Malaysia, Korea, Thailand, Denmark dan Indonesia mampu menjadi ancaman terbesar China dalam acara tertentu, kami harus sentiasa berhati-hati," katanya.

China menampilkan cabaran mantap dalam perseorangan lelaki pada Temasya Beijing dengan diketuai juara dunia, Lin Dan; juara Seluruh England, Chen Jin dan pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai.

Bagaimanapun, Yongbo menjangkakan Malaysia bakal menjadi halangan terbesar mereka menerusi Lee Chong Wei, manakala Thailand mampu menggugat menerusi Boonsak Posana.

Chong Wei menumpaskan Lin Dan pada separuh akhir Piala Thomas, Jumaat lalu dengan kemenangan mudah 21-12, 21-14 untuk menjadi satu-satunya pemain yang berjaya menumpaskan pemain nombor satu dunia itu.

Boonsak pula memberi tentangan sengit kepada jaguh China itu ketika kedua-dua pasukan bertemu pada peringkat kumpulan.

Dalam acara beregu, Yongbo melihat pasangan Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae sebagai ancaman terbesar buat Fui Haifeng-Cai Yun, tetapi beregu dari Malaysia dan Indonesia juga mampu memberi masalah kepada pemain mereka.

Dua beregu Indonesia, Nova Widianto-Liliyana Natsir dan Flandy Limpele-Vita Marissa mampu menjadi ancaman besar kepada pasangan China, Zheng Bo-Gao Ling dan He Hanbin-Yu Yang dalam beregu campuran.

Sementara Rasmussen, yang kini berada di prestasi terbaik selepas mengungguli kejuaraan Seluruh England dan Terbuka Malaysia 2008 mampu menggugat Xie Xingfang, Lu Lan dan Zhu Lin.

- Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zWZgfpvG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan