Sabtu, 18 November 2017

Chong Wei ke final



ARKIB : 16/03/2008
KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan utama lelaki negara, Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir Terbuka Switzerland selepas menewaskan pemain Poland, Przemyslaw Wacha di separuh akhir, semalam.

Kemenangan 21-14, 21-14 dalam masa 30 minit itu membolehkan Chong Wei menanti pemenang antara dua pemain China, Lin Dan atau Bao Chunlai yang beraksi lewat pagi tadi.

Chong Wei sebelum ini tersekat di separuh akhir Seluruh England apabila tumpas kepada pemain China, Chen Yu.

Pastinya pertemuan dengan salah seorang daripada pemain China itu nanti memberi peluang kepadanya untuk membalas dendam dan seterusnya menambah koleksi gelaran juara.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan satu lagi wakil negara mara ke perlawanan akhir tidak kesampaian apabila pasangan Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari tumpas, semalam.

Beregu muda negara itu gagal mengekalkan rentak bertenaga di set pertama untuk tunduk 21-17, 17-21, 17-21 kepada juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia di separuh akhir.

Lawan beregu Indonesia di perlawanan akhir itu akan ditentukan antara satu lagi beregu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan beregu Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae yang beraksi lewat pagi tadi.

Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, Xie Xingfang menepati ramalan dengan mara ke perlawanan akhir.

Teman wanita kepada Lin Dan yang tewas mengejut seawal pusingan pertama Seluruh England sebelum ini mudah menewaskan pemain Jerman, Xu Huaiwen, 22-20, 21-10 di separuh akhir.

Xingfang akan menentang pemenang antara Pi Hongyan dari Belanda atau rakan senegara, Zhang Ning pada perlawanan akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ypVibC00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan