Rabu, 29 November 2017

Laluan Chong Wei mudah berbanding beregu


 

ARKIB : 27/07/2008
KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei (gambar) agak bertuah manakala rakannya, Wong Choong Hann berdepan laluan sukar kerana diundi bertemu juara bertahan, Taufik Hidayat dalam pusingan kedua badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Bejing, bulan depan.

Pengundian di Hotel Plaza Henan, Beijing, semalam memberikan bye kepada kedua-dua pemain Malaysia ini dalam pusingan pertama.

Lawan seterusnya menanti Chong Wei yang juga pilihan kedua temasya ialah pemain Singapura, Ronald Susilo yang turut diberikan bye.

Jika berjaya ke pusingan ketiga, Chong Wei selaku pemain nombor dua dunia akan berdepan sama ada pemain Rusia, Stanislav Pukhov yang mendapat bye pusingan pertama dengan pemenang antara pemain Sepanyol, Pablo Abian dengan Kestutis Navickas dari Lithuania dalam pusingan kedua.

Undian bagi bahagian separuh atas itu bagaimanapun bertukar agak mudah buat Choong Hann jika berjaya melepasi Taufik apabila akan menentang sama ada pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh dengan pemenang antara Hsieh Yu Hsin (Taiwan) dan Kaveh Mehrabi (Iran) dalam pusingan ketiga.

Juara dunia yang juga pemain utama dunia, Lin Dan dari China turut mendapat bye sebelum menentang pemain Hong Kong, Ng Wei dalam pusingan kedua tetapi ujian sebenarnya dijangka hadir menerusi pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan dalam pusingan ketiga.

Bagi beregu lelaki, pasangan veteran Malaysia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mendapat laluan getir apabila diundi bertemu gandingan Korea Selatan, Lee Jae Jin-Hwang Ji Man dalam pusingan pertama dan mungkin menentang pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto pada pusingan kedua.

Pasangan nombor dua Malaysia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula akan berdepan semula gandingan Jepun yang mengejutkan mereka pada Kejohanan Dunia tahun lalu, Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda dalam pusingan pertama di Beijing.

Laluan lebih getir dalam pusingan kedua menggamit Kien Keat-Boon Heong jika menang iaitu sama ada pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan atau gandingan tuan rumah, Guo Zhendong-Xie Zhongbo.

Perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo yang pencapaian terbaiknya ialah separuh akhir Terbuka Malaysia tahun ini dan sebagai pilihan kelima-kelapan Olimpik, akan mara terus ke pusingan kedua untuk menentang pemain Afrika Selatan, Kerry Lee-Harrington yang turut diberikan bye.

Jika mampu ke pusingan ketiga, Mew Choo yang juga pemain nombor sembilan dunia bakal menghadapi pemenang pusingan pertama antara Deyanire Angulo (Mexico) dengan Hadia Hosny (Mesir) dan Petya Nedelcheva (Bulgaria) dengan Sara Persson (Sweden).

Beregu tunggal wanita Malaysia, Wong Pei Tty-Chin Ee Hui pula diundi bertembung Lee Kyung Won-Lee Hyo Jung dari Korea Selatan dan berpeluang agak cerah jika ke pusingan kedua kerana menghadapi pemenang antara Eva Lee-Mesinee Mangkalakiri (Amerika Syarikat) dengan Jiang Yanmei-Li Yujia (Singapura).
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zo5TuTcN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan