Ahad, 26 November 2017

Chong Wei, Choong Hann mara

ARKIB : 12/06/2008
KUALA LUMPUR - Dua wakil negara ke Sukan Olimpik, Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Siri Super Terbuka Singapura, semalam.

Bagaimanapun kedua-dua pemain utama Malaysia itu terpaksa bertarung sesama sendiri di pusingan kedua hari ini.

Semalam, Chong Wei, yang turun sebagai pilihan pertama diheret dalam permainan tiga set sebelum menundukkan pemain Jepun, So Sasaki 21-11, 20-22, 21-8.

Choong Hann juga dipaksa berkerja keras untuk mengetepikan rakan senegara dan pemain KLRC, Lee Tsuen Seng 24-22, 21-19.

Cabaran perseorangan lelaki negara turut diteruskan Sairul Amar Ayob dan Kuan Beng Hong. Sairul mara selepas menewaskan Hans- Kristian Vittinghus dari Denmark 21-14, 21-15, manakala Beng Hong menyingkirkan Mohd. Roslin Hashim 21-15, 21-18.

Seorang lagi wakil negara ke Sukan Olimpik, Wong Mew Choo turut mara ke pusingan kedua tetapi selepas berhempas pulas untuk menumpaskan Lee Yun Hwa dari Korea Selatan 21-10, 17-21, 21-14.

Bagaimanapun beregu wanita nombor satu Malaysia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berdepan prestasi meresahkan sebelum Temasya Beijing bermula 8-24 Ogos ini, apabila dikejutkan dengan kekalahan 19-21, 24-22, 11-21 kepada beregu bukan pilihan, Ha Jung Eun-Kim Min Jun dari Korea.

Dalam beregu lelaki, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng mengetuai kemaraan tiga pasangan lelaki negara.

Chong Ming-Choon Eng menewaskan rakan senegara, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah 21-15, 23-25, 21-17, manakala Gan Teik Chai-Lin Woon Fui menundukkan pasangan tuan rumah , Danny Bawa Chrisnanta-Chayut Triyachart 22-20, 21-18.

Pasangan remaja negara, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong pula menewaskan Rasmus Bonde-Kasper Henriksen dari Denmark 21-14, 10-21, 23-21.

Cabaran satu lagi pasangan negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif hanya bermula hari ini selepas mereka mendapat bye di pusingan pertama.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zaThjKjC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan