Isnin, 27 November 2017

Keringat saya demi negara - Chong Wei

ARKIB : 04/07/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
KUALA LUMPUR - Sebuah akhbar utama Indonesia, kelmarin menyifatkan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo cuba mengulangi sejarah Sukan Olimpik negara itu, iaitu menjadi pasangan kekasih yang merangkul pingat emas dalam temasya yang sama.

Indonesia menjadi perintis kepada sejarah gemilang itu menerusi Alan Budikusuma dan Susi Susanti yang merangkul pingat emas perseorangan lelaki dan wanita pada Temasya Barcelona 1992.

Kemenangan tersebut kemudian membawa kedua-dua bintang itu ke jinjang pelamin tujuh tahun kemudian, seterusnya digelar 'Pengantin dari Barcelona'.

Bagaimanapun, Chong Wei semalam menegaskan, dia tidak pernah terfikir tentang semua itu, malah tidak pernah menyuarakan hasrat untuk mengulangi pencapaian Alan dan Susi.

"Tak pernah terfikir untuk melakukan apa yang mereka kata, malah saya tidak anggap itu memberi motivasi tambahan.

"Saya mencari kejayaan untuk negara dan diri sendiri. Kalau menang pingat maka ia adalah kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia dan untuk diri saya.

"Saya tidak mahu komen lebih mengenai perkara ini kerana tumpuan saya hanya kepada persiapan sendiri. Laporan seperti itu, bukan sesuatu yang patut saya ambil peduli,'' kata Chong Wei.

Sebagai pemain nombor dua dunia dan memiliki prestasi yang cemerlang sejak akhir-akhir ini, Chong Wei dilihat sebagai pilihan untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik bersama dua pemain China, juara dunia, Lin Dan dan Chen Jin.

Mew Choo, meskipun sekadar menghuni kedudukan ke-10 dunia tetapi dikenang dengan kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka China di depan ribuan penyokong tuan rumah, November tahun lalu.

Begitupun, pemain China tetap menjadi pilihan untuk menjuarai acara perseorangan wanita pada Temasya 8-24 Ogos itu, diketuai pemain nombor satu dunia, Xie Xingfang, juara dunia, Zhu Lin dan pemain nombor tiga dunia, Lu Lan.

Selain Mew Choo, seorang lagi pemain bukan China yang turut berada dalam senarai pilihan ialah Tine Rasmussen dari Denmark yang melakar kejutan untuk juara Seluruh England, Mac lalu.

Sementara itu, menurut Chong Wei, persiapannya untuk menghadapi Sukan Olimpik kini di landasan terbaik dengan turut mendapat sokongan daripada rakan sepasukan, justeru dia tidak mahu fokus itu diganggu oleh perkara remeh.

Katanya, ketika ini dia mendapat sparring (rakan sepelatih) yang kompetitif daripada bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan bekas pemain nombor satu dunia, Mohd. Roslin Hashim.

"Persiapan berjalan dengan baik dan paling menggembirakan, saya bebas daripada sebarang kecederaan serius. Mungkin sedikit kecederaan lama tetapi itu biasa saja dan tidak menganggu.

"Setakat ini kami tidak merancang sebarang program khas untuk Olimpik. Saya dan jurulatih hanya meneruskan program sedia ada. Pada peringkat sekarang apa yang paling baik adalah mencari kelemahan dan cuba memperbaikinya,'' kata juara Terbuka Malaysia dan Singapura itu.

Pada masa ini, Chong Wei dan Mew Choo mendapat bimbingan daripada jurulatih yang sama, Misbun Sidek dalam persiapan mereka menghadapi Sukan Olimpik, Ogos ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zdSdrH6b

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan