Sabtu, 25 November 2017

Chong Wei makin bersemangat

ARKIB : 18/05/2008
JAKARTA - Walaupun gagal membawa pulang Piala Thomas, namun kejohanan itu meninggalkan kesan amat positif buat perseorangan utama negara, Lee Chong Wei untuk menghadapi Sukan Olimpik di Beijing, 8-24 Ogos ini.

Kemenangan ke atas juara dunia, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir, kelmarin meningkatkan moral Chong Wei untuk memburu pingat emas Olimpik pertama buat Malaysia.

Menurut Chong Wei, bukan kemenangan ke atas Lin Dan yang mengejutkan tetapi corak permainan yang memerangkap lawan.

"Saya melakukan banyak analisis sebelum menghadapi Lin Dan, terutama melihat semula video pertemuan kami ketika di Terbuka Switzerland (Mac lalu). Saya berjaya mengenal pasti setiap kelemahan Lin Dan dan menggunakan kelemahan itu sebagai kekuatan saya. Ia benar-benar berhasil.

"Kemenangan ini meletakkan saya di landasan terbaik untuk menghadapi Olimpik. Saya akan bekerja lebih kuat untuk memantapkan permainan dan adalah penting untuk memberikan aksi konsisten dalam tempoh tiga bulan ini untuk memastikan momentum itu dapat diteruskan," kata Chong Wei.

Kelmarin, Chong Wei mempamerkan permainan taktikal ketika menundukkan Lin Dan 21-12, 21-14 hanya dalam masa 36 minit.

Selepas pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang sebelum ini menjadi pertaruhan utama Malaysia untuk merangkul emas sulung Olimpik tidak boleh lagi diharapkan, Chong Wei kini dilihat sebagai harapan baru negara.

Rashid Sidek merupakan perseorangan terbaik Malaysia di Sukan Olimpik dengan memenangi gangsa pada temasya yang sama, namun pada dua penampilan terakhir - Sydney 2000 dan Athens 2004, pemain negara pulang tanpa sebarang pingat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zWRVLTQn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan