Isnin, 20 November 2017

Chong Wei buru gelaran kedua ABC



ARKIB : 16/04/2008
- Bernama

JOHOR BAHARU - Lee Chong Wei kembali semula ke gelanggang yang membawa pelbagai kenangan manis dalam kariernya sebagai pemain badminton bertaraf dunia.

Chong Wei amat pasti bahawa Stadium Tertutup Majlis Bandaraya, Johor Baharu akan menyambut kepulangannya dengan hati terbuka apabila Kejohanan Asia (ABC) bernilai AS$125,000 (RM396,000) bermula hari ini.

Apabila pemain berusia 26 tahun itu menumpaskan Boonsak Polsana dari Thailand untuk merangkul gelaran ABC pada 2006.

"Seperti biasa pemain dari China sentiasa menjadi ancaman kepada saya. Tapi saya yakin dapat mara ke separuh akhir dengan menentang Cunlai, jika mengikut perkiraan ranking pemain pilihan tanpa sebarang kejutan.

"Walaupun berdepan dengan lawan-lawan yang pernah saya hadapi sebelum ini, namun saya tidak berasa tertekan untuk menjuarainya.

"Saya harus memberi tumpuan pada setiap perlawanan serta pihak lawan dan itu merupakan kunci kejayaan," katanya yang disenaraikan sebagai pilihan kedua kejohanan.

Chong Wei, juara Terbuka Malaysia Januari lepas, masih belum menambah gelaran selepas itu apabila tewas kepada pemain nombor satu dunia Li Dan pada perlawanan akhir Terbuka Swiss dan disingkirkan pada separuh akhir oleh Chen Jin pada Kejohanan Seluruh England.

Mengikut pemerhati sukan itu, kontinjen China meletakkan harapan kepada Chen Jin untuk membawa pulang gelaran ABC di sini, mengumpul mata untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai pemain nombor empat dunia serta tiket automatik ke Olimpik Beijing.

Mengikut peraturan acara badminton dalam Sukan Olimpik, sesebuah negara hanya dibenarkan menyenaraikan maksimum tiga pemain sahaja yang menduduki ranking terbaik dalam senarai Persekutuan Badminton Dunia.

Ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock berkata, rancangan China menampilkan skuad perseorangan yang begitu mantap jelas secara ketara di sini.

"Mereka mahu semua tiga pemain utama mereka layak ke Sukan Olimpik dan mahu memastikan pemainnya menjadi empat pemain pilihan bagi meningkatkan peluang meraih emas di Beijing," katanya.

Hakikatnya, Yap lebih memikirkan nasib beregu lelaki Koo Kim Keat dan Tan Boon Heong yang kelihatan hilang sentuhan emas sejak kebelakangan ini.

Beliau juga perlu melihat persembahan beregu muda, Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari yang boleh melakukan kejutan pada kempen Piala Thomas bulan depan.

Kejohanan ini juga akan menilai peluang pemain perseorangan wanita negara Wong Mew Choo tanpa pemain utama China.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yxuvHKOO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan