Jumaat, 29 September 2017

Chong Wei, satu beregu ke akhir


 



ARKIB : 13/05/2007
Beregu negara, Fairuzizuan Tazari (kanan) memukul kencang bulu tangkis sambil Mohd. Zakry Abdul Latif bersedia pada perlawanan separuh akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, semalam. Pasangan Malaysia itu menewaskan gandingan Indonesia, Candra Wijaya-Tony Gunawan 21-23, 21-15, 21-17. – AFP.

JAKARTA - Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei memulakan kebangkitan manakala beregu muda Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif melakar pencapaian terbaik mereka dengan melangkah ke perlawanan akhir badminton Terbuka Indonesia, semalam.

Selepas mempamerkan aksi lesu sejak akhir tahun lalu, termasuk gagal mempertahankan kejuaraan Asia dan Terbuka Malaysia, Chong Wei akhirnya melayakkan diri ke final pertamanya dalam tempoh lapan bulan dengan menundukkan pemain nombor empat dunia, Chen Hong dari China.

Chong Wei, yang kali terakhir beraksi di perlawanan akhir pada Terbuka Hong Kong, September, 2006 memerlukan 34 minit untuk mengetepikan Chen Hong 23-21, 21-10 dan menempah pertemuan dengan seorang lagi bintang China, Bao Chunlai.

Chunlai, pilihan kedua dan naib juara 2006 mengecewakan hajat jaguh tuan rumah, Taufik Hidayat untuk memburu gelaran ketujuh dengan kemenangan 21-19, 21-19, sekali gus menebus kekalahannya kepada juara Olimpik itu pada final tahun lalu.

“Ini merupakan permainan terbaik saya sejak beberapa bulan lalu. Kemenangan ini pasti akan meningkatkan semangat saya dan meningkatkan keyakinan untuk memenangi perlawanan akhir tanpa peduli siapa yang akan ditentang,’’ kata Chong Wei.

Chong Wei yang jatuh ke kedudukan keenam dalam ranking terbaru dunia, Khamis lalu kini memasang impian untuk menjadi pemain pertama Malaysia merangkul kejuaraan Terbuka Indonesia selepas kali terakhir dilakukan Yong Hock Kin pada 1998.

Sementara itu, Fairuzizuan-Zakry mencatat kejutan besar pada kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM875,000) itu, hanya sebulan selepas digandingkan apabila menundukkan bekas juara dunia dan Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan.

Walaupun hanya turun dari ranking 80 dunia, Fairuzizuan-Zakry tidak gugup ketika berdepan penyandang juara dan beregu nombor tiga dunia dari Indonesia/Amerika Syarikat itu apabila menang 21-23, 21-15, 21-17.

Hasrat untuk menyaksikan pasangan Malaysia bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir bagaimanapun tidak kesampaian selepas beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tumpas kepada juara dunia, Cai Yun-Fu Haifeng dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Juara Seluruh England, Terbuka Malaysia dan Terbuka Switzerland itu tewas 21-17, 12-21, 10-21 iaitu kekalahan pertama mereka daripada tiga pertemuan dengan beregu nombor satu dunia dari China itu.

Fairuzizuan-Zakry yang mengejutkan beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark pada pusingan kedua, kini berkeyakinan tinggi untuk melakar satu lagi kejutan ke atas Cai Yun-Haifeng.

“Cai Yun dan Haifeng baru memenangi Terbuka Singapura, jadi prestasi mereka kini di tahap yang terbaik dan tentunya menjadi pilihan untuk muncul juara.

“Bagaimanapun, Candra dan Tony juga merupakan pilihan utama sebelum kami turun ke gelanggang hari ini. Mereka adalah penyandang juara, selain mendapat sokongan padu penonton tempatan.

“Namun, kami berjaya mengalahkan mereka, dan ini membuktikan bahawa untuk menumpaskan pasangan China pada perlawanan akhir juga bukan sesuatu yang mustahil,’’ kata Zakry.

Beregu negara, yang masing-masing berusia 24 tahun dan memiliki pengalaman mara ke separuh akhir Seluruh England 2005 bersama gandingan yang berbeza, berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Asia dan suku akhir Terbuka Singapura pada dua kejohanan pertama sejak digandingkan, 30 Mac lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u3lUjukU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan