Jumaat, 29 September 2017

Peluang Chong Wei tambah gelaran



ARKIB : 20/05/2007

KUANTAN – Juara Terbuka Indonesia, Lee Chong Wei berjaya melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Proton Terbuka Pahang 2007 selepas menewaskan Tan Chun Seang 21-15, 21-7 dalam saingan separuh akhir, petang semalam.

Pada perlawanan akhir yang dijadualkan bermula pada pukul 5 petang ini, Chong Wei akan berhadapan dengan seorang lagi pemain perseorangan negara, Kuan Beng Hong yang terlebih dahulu menewaskan Lim Kenn dengan keputusan 19-21, 21-17, 21-16 dalam satu lagi separuh akhir.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, kejutan demi kejutan berlaku dengan menyaksikan tiada beregu pilihan utama layak ke akhir hari ini.

Ini selepas Ong Soon Hock-Tan Bin Shen mencuri tumpuan apabila menewaskan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di separuh akhir semalam.

Pasangan muda sedang meningkat naik itu menang 21-19, 21-16 untuk menempah pertemuan juga dengan beregu bukan pilihan Chew Chun Eng-Hong Chieng Hun.

Chun Eng-Chieng Hun sebelum itu menewaskan pasangan Lim Khim Wah-Mak Hee Chun 21-14, 21-12 dalam satu lagi separuh akhir.

Hasrat peminat setia badminton untuk melihat dua beregu utama negara beraksi di akhir berkecai apabila masing-masing terkandas di peringkat suku akhir, pagi semalam.

Naib juara Terbuka Indonesia, Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari tumpas di tangan Ong Soon Hock-Tan Bin Shen dalam saingan sengit tiga set yang berkesudahan dengan 16-21, 23-21, 18-21.

Juara Seluruh England, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong pula terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada Lim Khim Wah-Mak Hee Chun setelah Boon Heong tidak dapat beraksi akibat demam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u7LKOlXV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan