Sabtu, 23 September 2017

Chong Wei gagal pertahan kejuaraan



 
ARKIB : 14/04/2007
Oleh: SOPI SAMAILE
 LEE CHONG WEI.

JOHOR BAHRU – Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei terkandas di peringkat suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) apabila tumpas kepada pemain nombor satu Indonesia, Taufik Hidayat dengan 17-21, 17-21, semalam.

Bagaimanapun, cabaran perseorangan lelaki negara masih diteruskan Yeoh Kay Bin yang terpaksa diseret ke perlawanan penentuan sebelum menang ke atas pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 13-21, 21-9, 21-14 dalam masa 47 minit.

Lawan Kay Bin pada separuh akhir hari ini ialah pemain pilihan kedua kejohanan dari China, Chen Hong yang mara selepas menewaskan pemain Jepun, Nakanishi Youseke 21-15, 12-21, 23-21.

Beregu lelaki negara pula menepati ramalan apabila tiga pasangan Malaysia layak ke separuh akhir.

Pada suku akhir semalam, pasangan Lee Wan Wah-Choon Tan Fook menewaskan beregu dari Taiwan 19-21, 21-16, 21-14.

Juara Seluruh England, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menentang rakan senegara, Ong Soon Hock dan Tan Bin Shien menang mudah dengan mata 21-16, 21-10.

Satu lagi regu negara yang turut layak adalah Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari yang menewaskan Njoto Albertus Susanto- Wiratama Yohan Hadikusu dari Hong Kong 13-21, 21-8 dan 21-17.

Pada separuh akhir hari ini, Mohd. Zakry-Mohd. Fairuzizuan akan menentang rakan senegara, Lee Wan Wah dan Choon Tan Fook manakala Kien Keat-Boon Heong menentang beregu Taiwan.

Dalam acara beregu campuran, hanya satu pasangan negara yang masih meneruskan cabaran selepas gandingan Fairuzizuan-Wong Pei Tty menang ke atas rakan senegara, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei 21-14, 21-12 di suku akhir.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo turut mara ke separuh akhir untuk menempah pertemuan dengan pemain China, Lu Lan.

Terdahulu dalam suku akhir, Mew Choo menewaskan pemain Jepun, Fujitsu Mizuki 21-19, 21-12.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tWQnUirf© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan