Jumaat, 15 September 2017

Chong Wei tumbang di suku akhir



 
ARKIB : 20/01/2007
PASANGAN negara, Koo Kien Kiat (belakang) dan Tan Boon Heong meraikan kejayaan menewaskan beregu Jepun, Sakamoto dan Ikeda Shintaro di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam. – Gambar HAFIZ JOHARI.

KUALA LUMPUR – Penyandang juara, Lee Chong Wei mengalami kekalahan pertamanya di Malaysia dalam tempoh empat tahun dan terpaksa melupakan hasrat untuk merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali keempat berturut-turut selepas tumpas 14-21, 18-21 kepada jaguh China, Bao Chunlai di suku akhir semalam.

Kekalahan pemain nombor dua dunia itu hampir melengkapkan siri kejutan yang berlaku pada kejohanan bernilai AS$$200,000 (RM708,000) itu yang terdahulu sudahpun kehilangan juara dunia, Lin Dan dan Fu Haifeng-Cai Yun serta penyandang juara beregu wanita, Yang Wei-Zhang Jiewen - kesemuanya dari China.

Mujurlah pemenang pingat emas Sukan Asia Doha, Koo Kien Keat-Tan Boong Heong dan perseorangan wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo menyelamatkan keadaan di Stadium Badminton Kuala Lumpur (KLBA) apabila masing-masing berjaya meneruskan cabaran ke separuh akhir, hari ini.

Chong Wei, 24, tidak pernah kalah dalam semua kejohanan di gelanggang sendiri sejak 2003, malah menjuarai Terbuka Malaysia dari 2004 hingga 2006 dan turut merangkul kejuaraan Asia ketika ia diadakan di Johor, tahun lalu.

Pilihan kedua kejohanan itu bagaimanapun tetap tenang menerima kekalahannya semalam dengan menganggap ia adalah pengajaran paling berguna, apatah lagi dengan Kuala Lumpur bakal menjadi Kejohanan Dunia, Ogos ini dan dia harus lebih bersedia.

"Saya menerima kekalahan ini sebagai satu peringatan agar tidak leka pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya saya lebih bersedia awal untuk menghadapi Kejohanan Dunia yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

"Lawan saya menunjukkan permainan yang biasa tetapi saya sendiri tertekan sejak awal dan terlalu bermain dengan berhati-hati hingga membuat terlalu banyak kesilapan. Ini adalah pengajaran yang paling berguna kepada saya,'' kata Chong Wei.

Chunlai kini akan menentang rakan senegara dan pemain nombor lima dunia, Chen Hong yang mara selepas menundukkan seorang lagi pemain China, Chen Jin 19-21, 22-20, 21-16.

Satu lagi separuh akhir menemukan dua jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen dan Kenneth Jonassen. Gade-Christensen mara selepas mengalahkan bekas juara remaja dunia, Chen Yu dari China 21-14, 21-13, manakala Jonassen menumpaskan Park Sung Hwan dari Korea Selatan 21-19, 21-15.

Sementara itu, Kien Keat-Boon Heong menceriakan pasukan badminton negara selepas mengalahkan beregu utama Jepun, Sakamoto Shuichi-Ikeda Shintaro 21-13, 21-17 dalam perlawanan yang berlarutan hingga 29 minit.

Naib juara Terbuka Jepun itu, yang memburu kejuaraan antarabangsa pertamanya selepas kemenangan bersejarah di Doha bulan lalu kini akan menentang beregu utama Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan, pasangan yang pernah dikalahkan pada Sukan Asia lalu. Markis-Hendra mara selepas menumpaskan beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark 17-21, 21-16, 30-28.

Satu lagi separuh akhir beregu lelaki akan menemukan juara Olimpik 2000, Tony Gunawan-Candra Wijaya dan pasangan Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae.

Terdahulu, pasangan Amerika Syarikat-Indonesia itu menafikan hasrat beregu muda negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock untuk meneruskan siri kejutan dengan kemenangan 2-18, 21-11.

Jae Sung-Yong Dae pula menewaskan pasangan England, Anthony Clark/Robert Blair 14-21, 21-19, 21-18.

"Perlawanan pada hari ini kurang sengit berbanding ketika kami mengalahan Chan Chong Ming-Hoon Thien How (pusingan pertama) dan kami masih belum mempamerkan permainan sebenar.

"Bagaimanapun dalam perlawanan esok (hari ini) kami akan memberikan aksi terbaik dan tidak akan mengambil perlawanan dengan mudah,'' kata Kien Keat.

Sementara itu, Mew Choo memastikan bendera Malaysia terus berkibar dalam saingan wanita apabila mengejutkan pemain nombor empat dunia, Xu Huaiwen 15-21, 21-15, 22-20 untuk bertemu pemain Jepun, Eriko Hirose.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4socpabBE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan