Ahad, 10 September 2017

Chong Wei tidak ke Korat



 
ARKIB : 26/12/2006
Chong Wei tidak ke Korat
 Oleh Norzie Mohd. Khasbi
Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR - Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Chong Wei yang bakal berdepan tugas sukar menghadapi Kejohanan Dunia di gelanggang sendiri tahun depan mungkin memilih untuk tidak bertanding pada Sukan SEA di Korat, Thailand.

Malah, jadual sibuk yang terpaksa diharungi pemain nombor dua dunia itu apabila kelayakan Sukan Olimpik bermula pada Mei depan turut mendorongnya melupakan edisi ke-24 temasya yang dijadual berlangsung dari 6-15 Disember.

Rekod kebal Chong Wei yang tidak pernah dikalahkan dalam semua perlawanan di tempat sendiri sejak empat tahun lalu menjadikan dia pilihan utama untuk merangkul kejuaraan dunia apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 12-19 Ogos depan.

Selepas muncul juara Terbuka Malaysia selama tiga tahun berturut-turut, dia juga menjadi tumpuan untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keempat apabila kejohanan kembali ke Kuala Lumpur, 16-21 Januari depan.

Dan, yang pasti, Terbuka Malaysia kali ini lebih prestij, kompetitif serta tinggi saingannya kerana ia adalah kejohanan pembuka tirai dalam kalendar Siri Super yang menawarkan lebih RM10 juta.

“Selepas memegang rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak empat tahun lalu, saya rasa seperti semua pemain “mahu makan saya’’ setiap kali turun ke gelanggang.

“Saya harus beri tumpuan lebih besar jika berhasrat untuk merangkul kejuaraan dunia tahun depan, terutama beraksi di Kuala Lumpur, ia lebih menimbulkan rasa geram lawan tiap kali berdepan dengan saya.

“Malah, jadual saya sepanjang 2007 juga lebih padat kerana saingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2008 akan bermula pada bulan Mei, mungkin juga saya terpaksa melupakan Sukan SEA,’’ kata Chong Wei.

Bagaimanapun tegas juara Asia itu lagi, kedudukannya pada Sukan SEA hanya akan diputuskan jurulatih dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dia sekadar membayangkan mungkin diberi sedikit ruang untuk berehat pada hujung tahun memandangkan Sukan Olimpik bakal menyusul pada 2008, selain kejohanan Piala Thomas.

“Saya cuma kata mungkin saya tidak akan bertanding pada Sukan SEA tetapi kalau jurulatih mahu saya beraksi, sudah tentu saya akan pergi dan memberikan yang terbaik,’’ kata Chong Wei.

Malaysia merupakan penyandang juara acara berpasukan lelaki pada Sukan SEA Manila 2005 selepas menumpaskan musuh tradisi, Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun Chong Wei hanya meraih pingat gangsa dalam acara individu, yang menyaksikan Indonesia mendominasi dua tempat di final dengan Sony Dwi Kuncoro muncul juara selepas mengalahkan Simon Santoso.

Pada Kejohanan Dunia di Madrid, Sepanyol September lalu, cabaran Chong Wei berakhir di suku akhir selepas tumpas kepada pemain China, Bao Chunlai.

Tanpa Chong Wei, cabaran perseorangan Malaysia pada Sukan SEA dijangka diketuai oleh juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim, Wong Choong Hann dan Kuan Beng Hong.

Malaysia juga bakal memberi cabaran terkuat dalam acara beregu lelaki dengan peningkatan hebat yang ditunjukkan pasangannya sepanjang 2006, terutama beregu muda, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Pasukan negara juga boleh berharap kepada tiga pasangan yang melayakkan diri ke separuh akhir Seluruh England, Januari lalu - Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui dan Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif.

Sukan SEA 2005 turut menyaksikan sebutir pingat emas disumbangkan pemain wanita menerusi beregu utamanya, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sHdym9fd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan