Sabtu, 23 September 2017

Chong Wei gugup



ARKIB : 12/04/2007

JOHOR BAHRU - Biarpun permulaan yang agak gugup, juara bertahan Kejohanan Badminton Asia (ABC), Lee Chong Wei berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Korea, Hwang Jung Woon.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 30 minit itu Chong Wei menumpaskan Jung Woon dengan 23-21, 21-9.

Chong Wei nyata terpaksa berhempas pulas pada set pertama dengan mengekori Jung Woon dari belakang sehingga kedudukan terikat 18-18.

Begitupun, pengawalan gelanggang yang kurang kemas serta kesilapan demi kesilapan menyebabkan perlawanan pada set pertama diheret kepada mata tambahan sebelum berakhir dengan kemenangan memihak kepada Chong Wei.

Dalam perlawanan set kedua, Chong Wei mula menampakkan rentak permainan sebenar dengan menampilkan pukulan kemas yang gagal dipintas lawannya.

Perubahan strategi yang dilakukan menerusi tunjuk ajar jurulatih, Misbun Sidek membolehkan Chow Wei dengan tenang menumpaskan Juun Woon 21-9 pada set kedua.

Menurut Chong Wei, dia melakukan banyak kesilapan pada set pertama sehingga menyebabkannya kehilangan banyak mata kepada pemain lawan.

“Saya menemui fokus sebenar saya pada set kedua dan mengelakkan kesilapan yang dilakukan pada set pertama.

“Setelah mendapat semula rentak permainan, saya terus konsisten dalam mendapatkan mata demi mata,” katanya.

Ujarnya lagi, dia yakin dapat mengekalkan rentak permainannya itu pada pusingan seterusnya dengan tahap kecergasannya bertambah baik.

Dalam pada itu, menurut Misbun Sidek, beliau menyedari permainan yang terlalu terbuka oleh Chong Wei pada set pertama lebih memanfaatkan pihak lawan.

“Rentak permainannya sudah ada namun dia banyak melakukan hantaran-hantaran yang secara mudah dapat dipintas pihak lawan.

“Dalam permainan peringkat tinggi seperti ini, seorang pemain perlu memiliki dua atau tiga permainan teknikal bagi menewaskan lawan,” katanya.

Katanya, dalam menghadapi lawannya itu, Chong Wei perlu mengawal corak permainannya untuk tidak bermain terlalu laju berikutan masalah pernafasan yang dihadapinya.

“Dengan ruang gelanggang dikawal sepenuhnya, baru Chong Wei dapat melakukan pukulan serangan berbahaya yang dapat menghasilkan mata,” katanya.

Beliau memberitahu, dia akan berusaha membantu Chong Wei memulihkan prestasi permainannya dalam mempertahankan kejuaraan ABC yang dimenangi tahun lalu.

“Sebagai juara bertahan, semua orang ingin menumpaskannya, kini Chong Wei mula menetapkan keyakinan pada pengalaman yang dimilikinya serta persediaan yang telah dilakukan sebelum kejohanan,”katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tVurYfNf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan