Sabtu, 16 September 2017

Chong Wei tumpu sirkit kebangsaan



ARKIB : 01/02/2007

KUALA LUMPUR – Selepas mengharungi dua kejohanan awal musim yang mengecewakan, Lee Chong Wei bersedia untuk memulihkan keyakinan dengan memburu gelaran Grand Prix Akhir Sirkit Badminton Kebangsaan, minggu depan.

Walaupun hanya kejohanan tempatan, namun kemenangan mampu mengembalikan semangat pemain nombor satu negara itu, yang masih lagi dikejutkan dengan kekalahan pertama di tempat sendiri dalam tempoh empat tahun pada Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.

Selain kecundang di tangan jaguh China, Bao Chunlai di suku akhir Terbuka Malaysia, Chong Wei juga kandas pada peringkat yang sama pada Terbuka Korea minggu lalu, kali ini kepada pemain remaja China, Chen Jin.

Pada Grand Prix Akhir Sirkit Kebangsaan, yang akan berlangsung di Kuala Terengganu dari 8-11 Februari ini, Chong Wei dijangka tidak menghadapi masalah untuk melayakkan diri ke final.

Selaku penyandang juara, Chong Wei mengetuai Kumpulan A bersama tiga pemain remaja – Chong Li Qun, Azrihanif Azahar dan Kuan Kam Chung.

Jika berjaya muncul juara kumpulan, dia akan berdepan juara Kumpulan C, yang dianggotai oleh Yeoh Kay Bin, James Chua, Chong Wei Feng dan Teo Kok Siang.

Andai semua menepati ramalan atas kertas, pemain nombor dua negara, Muhammad Hafiz Hashim dijangka menjuarai Kumpulan D, yang turut membariskan K. Yogendran, Lim Keen dan Zairul Hafiz Zainuddin.

Persaingan Kumpulan B paling sengit dengan menemukan bekas jaguh nombor satu negara, Wong Choong Hann dengan Kuan Beng Hong manakala dua lagi pemain adalah Liew Darren dan Lim Fang Yang.

Kejayaan Malaysia melahirkan ramai pasangan berkualiti sejak setahun lalu bakal menyaksikan pertembungan terhebat acara beregu lelaki yang diketuai pasangan sensasi dan pemenang pingat emas Sukan Asia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Beregu nombor satu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menghadapi masalah prestasi sejak hujung tahun lalu hilang daripada senarai pertandingan yang diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam.

Ini meletakkan Kien Keat-Boon Heong sebagai pilihan utama, namun juara Terbuka Malaysia itu bakal berdepan beregu nombor dua negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui dalam Kumpulan P, selain Khoo Chung Chiat-Mohd. Razif Latif dan Ong Jian Quo-Goh Wei Shem.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4speVlg9u
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan