Jumaat, 29 September 2017

Chong Wei tepati ramalan



ARKIB : 21/05/2007

KUANTAN - Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei menepati ramalan apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Pahang di Stadium Sukan Pahang, di sini semalam, lapor AIZAWATI AHMAD.

Juara baru Terbuka Indonesia itu mudah menumpaskan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Kuan Beng Hong 21-14, 21-6 hanya dalam masa 25 minit.

Pemain nombor empat dunia itu mempamer permainan pantas yang sukar dikejar oleh Beng Hong, sekali gus melayakkannya membawa pulang RM4,000.

Chong Wei bagaimanapun mengakui, ketiadaan pemain utama seperti Muhammad Hafiz Hashim, Mohd. Roslin Hashim serta Wong Choong Hann memudahkan laluannya untuk muncul juara.

“Saya diberi laluan mudah pada kejohanan kali ini dan penyertaan saya pada sirkit kebangsaan hanyalah sebagai pemanas badan sebelum menghadapi kejohanan yang lebih besar di peringkat antarabangsa,'' katanya.

Katanya lagi, tumpuan selepas ini adalah memperbaiki ranking sebelum menghadapi kejohanan utama seperti Piala Sudirman (11-17 Jun) dan Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur pada 13-19 Ogos ini.

Sementara itu Tan Bin Shen-Ong Soon Hock melengkapkan kecemerlangan dengan muncul juara beregu lelaki selepas menewaskan Chew Choon Eng-Hong Chieng Hun 21-17, 21-10.

Pasangan nombor empat negara itu hanya mengambil masa 21 minit untuk menundukkan rakan skuad kebangsaan, sekali gus membawa pulang RM6,000.

Dalam perseorangan wanita, Anita Kaur mengejutkan pilihan utama, Julia Wong 21-4, 21-18 untuk muncul juara dan meraih hadiah kemenangan RM2,000.

Kejuaraan beregu wanita pula menjadi milik pemain skuad pelapis, Chong Sook Chin-Amelia Anscelly yang menyingkirkan Anita-Julia 21-19, 20-22, 23-21.

Dalam beregu campuran, gandingan Lim Khim Wah-Ng Hui Lin berjaya muncul juara selepas menewaskan Chan Peng Soon-Haw Chiou Hwee 21-18, 21-13.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u7N4V9F5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan