Sabtu, 16 September 2017

Chong Wei pertahan gelaran juara



ARKIB : 12/02/2007
Oleh IRMAN HASHIM

KUALA TERENGGANU - Lee Chong Wei mempertahankan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut selepas mengalahkan Muhammad Hafiz Hashim pada perlawanan akhir Grand Prix Akhir Badminton Kebangsaan 2006 di Stadium Negeri di sini, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Doha dan juara Terbuka Malaysia Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula terus unggul sebagai pasangan terbaik negara ketika ini dengan menjuarai acara beregu lelaki.

Sementara dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo merampas semula kejuaraan dengan menumpaskan pemain remaja kebangsaan, Lydia Cheah.

Chong Wei, yang memegang kejuaraan kebangsaan sejak 2002 tidak menghadapi banyak masalah untuk menumpaskan Hafiz, yang baru pulih dari kecederaan 21-14, 21-15.

Kemenangannya tersebut membolehkan jaguh nombor satu negara itu membawa hadiah besar kemenangan RM7,000, manakala Hafiz meraih RM3,600.

Menurut Chong Wei, dia sudah menjangkakan kemenangan akan dicatat dalam perlawanan akhir melihat kepada permainan yang ditunjukkan Hafiz dari awal perlawanan.

“Walaupun Hafiz memberikan tentangan hebat pada permainan set kedua tetapi saya yakin akan menang selepas mencecah 15 mata dan ke atas,” kata Chong Wei.

Bagi Hafiz, dia terpaksa beraksi dalam keadaan yang berjaga-jaga bagi mengelak daripada terlalu memberi tekanan kepada bahagian kecederaan yang baru pulih.

Sementara itu, Kien Keat-Boo Heong mengukuhkan kedudukan sebagai beregu Malaysia paling konsisten selepas menewaskan rakan skuad kebangsaan, Tan Bin Sheng-Ong Soon Hock 21-12, 21-15.

Pasangan muda negara itu, yang juga naib juara Terbuka Jepun membawa pulang RM11,000, manakala pesaing mereka menerima RM6,000.

Dalam perseorangan wanita, Mew Choo tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan Lydia 21-12, 21-13 untuk merangkul RM4,000.

Kejuaraan beregu wanita pula milik Julia Wong-Haw Chiou Hwee yang mengejutkan pasangan senior, Fong Chew Yen-See Phui Leng 21-16, 25-23.

Kemenangan membolehkan Julia-Chiou Hwee merangkul RM4,800, manakala naib juara meraih RM2,400.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sr4zIEYO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan