Sabtu, 23 September 2017

Hafiz singkir Chong Wei



ARKIB : 03/05/2007

SINGAPURA – Nasib malang pemain perseorangan pertama negara Lee Chong Wei berterusan apabila tewas kepada Muhamad Hafiz Hashim pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Stadium Tertutup di sini, semalam.

Dalam pertembungan dua pemain negara itu, Muhamad Hafiz menang 16-21, 21-18, 22-20, untuk menamatkan cabaran Chong Wei pada kejohanan yang menawarkan hadiah US$200,000 (RM700,000), dan akan bertemu pemain Thailand Boonsak Polsana pada pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, pasangan beregu negara, Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat yang merupakan juara Seluruh England tahun ini mengejutkan kem Malaysia apabila tewas di tangan rakan senegara, Zakry Abdul Latif dan Fairuzizuan Mohd. Tazari.

Pasukan yang turut menjuarai Terbuka Switzerland itu tewas 21-15, 13-21, 15-21.

Pasangan Tan dan Koo yang diharapkan dapat meneruskan keunggulan mereka langsung tidak diberi peluang oleh Zakry dan Fairuzizuan, yang baru digandingkan untuk menentukan rentak dan tempo permainan sehingga akhirnya mereka tewas.

“Saya terpinga-pinga dan kehilangan terhadap apa yang berlaku. Kami masih menganalisis apa yang tidak kena dengan permainan kami,” kata Koo.

Namun di sebalik keputusan itu, berita gembira bagi kem Malaysia ialah apabila pasangan muda negara Tan Bin Shen dan Ong Soon Hock mengejutkan pasangan Denmark, Lars Paaske dan Jonas Rasmussen 18-21,21-17,21-18 untuk menempah ke pusingan kedua untuk bertemu pasangan nombor satu dunia Cai Yun dan Fu Haifeng dari China.

Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah turut mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan rakan senegara Chan Choong dan Hoon Thien How, 21-16, 21-17.

Seorang lagi pemain Malaysia, Wong Choong Hann, 30, berjaya melepasi halangan pusingan kelayakan, kelmarin dan pada pusingan pertama dia menewaskan pemain England Richard Vaughan untuk bertemu dengan pemain Jepun Shoji Sato.

“Bukan mudah pada peringkat umur saya untuk kembali beraksi selepas mengalami kecederaan buku lali yang serius.

‘‘Bagaimanapun, saya gembira saya berada pada kedudukan yang baik dan siapa tahu jika saya dapat melakukan yang terbaik, saya mungkin masih ada peluang,” kata Choong Hann.

Turut layak ke pusingan kedua adalah pemain nombor satu dunia dan pilihan utama, Lin Dan dari China yang menewaskan pemain Hong Kong Chan Yan Kit 21-18, 13-21, 21-15.

Pada pusingan kedua, dia akan menentang Simon Santoso dari Indonesia, mengulangi pertemuan separuh akhir Terbuka Switzerland dua bulan lepas yang menyaksikan Lin Dan akhirnya menarik diri setelah tewas set pertama akibat kecederaan.

“Sudah banyak kali saya katakan sebelum ini, ia satu cabaran sukar untuk menang di Singapura dan ia tidak pernah berubah. Situasinya masih sama dan hari ini ada masanya saya terpaksa bertungkus lumus untuk menyesuaikan diri,” kata juara dunia itu.

Sementara itu, juara dua kali Cheng Hong dari China kecundang pada pusingan pertama kepada Sony Dwi Duncoro dari Indonesia 11-21, 21-9 dan 17-21.

– Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tYiYFmcK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan