Jumaat, 29 September 2017

Chong Wei tidak mahu alpa



ARKIB : 15/05/2007

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

KUALA LUMPUR – Jaguh nombor satu negara, Lee Chong Wei akan kembali memulakan latihan bersama jurulatih, Misbun Sidek hari ini, hanya sehari selepas pulang dari Jakarta bersama kejuaraan badminton Terbuka Indonesia.

Pemain nombor enam dunia itu mengakui, keputusannya untuk menyambung latihan lebih awal adalah bagi mengelak daripada alpa dengan kejayaan di Indonesia.

Walaupun Chong Wei berhak meraikan kemenangan pertamanya selepas 11 bulan menanti, namun dia memilih untuk tidak mahu bergembira terlalu lama.

Tegas Chong Wei, fokusnya kini adalah menyiapkan diri menjelang Kejohanan Dunia 13-19 Ogos ini, yang diakui menjadi tumpuan peminat badminton tanah air kerana diadakan di Kuala Lumpur.

“Selepas agak lama mengalami kejatuhan dan dikritik hebat, kemenangan ini cukup melegakan dan mengembalikan keyakinan saya. Ia adalah titik kebangkitan saya.

“Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu berseronok dengan kejuaraan di Indonesia. Cukuplah saya gembira tetapi tidak perlu terlalu meraikannya.

“Sebab itu saya mahu kembali ke latihan secepat mungkin. Saya perlu fokus kepada apa yang patut, apatah lagi sekarang adalah tempoh yang kritikal dengan kelayakan Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia akan berlangsung,’’ kata Chong Wei, yang tiba di Kuala Lumpur awal pagi semalam.

Chong Wei muncul pemain Malaysia kedua menjuarai Terbuka Indonesia selepas Yong Hock Kin pada 1998 setelah menundukkan naib juara dunia dan pilihan kedua, Bao Chunlai dari China 21-16, 21-15 di perlawanan akhir.

Perseorangan utama negara itu gagal memenangi sebarang gelaran antarabangsa sejak menjuarai Terbuka Malaysia 2006, Jun tahun lalu, malah gagal layak ke mana-mana perlawanan akhir sejak muncul naib juara Terbuka Hong Kong, September lalu.

Menurut Chong Wei, tumpuan utamanya sekarang adalah mencari tiket Sukan Olimpik Beijing, sebelum memasang sasaran memburu pingat pada temasya 8-24 Ogos, 2008 itu.

Meskipun Kejohanan Dunia turut menjadi keutamaan, namun keghairahannya mencari pingat Sukan Olimpik mengatasi segala-galanya.

“Semua orang akan bertanya mengenai Kejohanan Dunia setiap kali bertemu saya.. dan saya akan kata.. jangan terlalu fikirkan Kejohanan Dunia.. saya juga mahu pergi ke Sukan Olimpik.

“Saya ada banyak kejohanan lagi untuk disertai bagi melayakkan diri ke Beijing. Saya mahu pergi Olimpik dan cuba membawa pulang pingat,’’ kata Chong Wei.

Hari ini, Chong Wei akan memulakan latihan seawal jam 8.30 pagi di Puchong dan esok, dia akan bertolak ke Kuantan bagi menyertai grand prix kebangsaan Terbuka Pahang.

Gembira dengan kepantasan dan tahap kecergasannya yang semakin mantap sebulan selepas kembali ke bersama Misbun, Chong Wei berharap untuk meningkatkan lagi kawalan gelanggang sebelum Piala Sudirman bermula di Glasgow, 11-17 Jun ini.

Di Terbuka Pahang, bekas pemain nombor satu dunia itu dan penyandang juara itu mendapat bye pada pusingan pertama.

Dia kemudian akan menentang pemenang di antara Mohd. Arif Latif atau Lim Chen Wet pada pusingan kedua.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u45eoZ2l
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan