Jumaat, 29 September 2017

Chong Wei muncul juara Terbuka Indonesia


 

ARKIB : 14/05/2007
PEMAIN perseorangan negara, Lee Chong Wei muncul juara Terbuka Indonesia, semalam selepas menewaskan pemain China, Bao Chunlai pada perlawanan akhir. Chong Wei menang 21-16, 21-15. – AFP.

JAKARTA – Lee Chong Wei muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menundukkan pemain China, Bao Chunlai 21-16, 21-15 pada perlawanan akhir di Stadium Istora Senayan di sini, semalam.

Kemenangan ke atas pemain pilihan kedua kejohanan itu mengembalikan semula kehebatan pemain Malaysia itu selepas gagal melakukannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Selepas enam bulan bergelut dengan kemerosotan prestasi dan ranking dunia, pemain berusia 25 tahun itu jelas punya sebab untuk terlalu gembira dengan kejayaan hari ini.

Kemenangan ke atas pemain China berusia 24 tahun itu menjadikan beliau pemain Malaysia kedua memenangi perseorangan lelaki di sini selepas Yong Hock Kin melakukannya pada 1998.

Beliau membawa pulang AS$20,000 (RM70,000) selain lebih banyak lagi imbuhan di bawah skim insentif Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menantinya.

Ini termasuk tambahan 20 peratus daripada hadiah wang tunai selain RM10,000 di bawah skim imbuhan Presiden, yang keseluruhannya dijangka berjumlah RM92,000.

Pada perlawanan akhir, Chong Wei mempamerkan semangat juang yang tinggi dengan tidak memberikan banyak ruang kepada Chunlai untuk melakukan gerakan berbahaya dan memaksa pemain lawan lebih tertumpu di tengah gelanggang dengan gerakan pantasnya.

“ Perancangan saya untuk membiarkan permainan rali dan bersabar. Akhirnya dia melakukan banyak kesilapan.

“Saya perlu menang perlawanan ini dan sekarang saya kembali yakin. Saya mahu kembali menjadi pemain nombor satu dunia,” kata Chong Wei.

Harapan untuk melihat kejayaan satu lagi wakil Malaysia pada perlawanan akhir tidak kesampaian apabila pasangan beregu lelaki, Zakry Latiff dan Fairuzizuan Tazari tewas kepada pasangan China Cai Yun-Fu Haifeng.

Pasangan nombor satu dunia itu menang 21-17, 22-20 untuk merangkul kejuaraan kedua dalam masa seminggu selepas memenangi Terbuka Singapura dengan menundukkan satu lagi pasangan Malaysia Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah.

“Kami agak gopoh dan saya kena akui kami agak gementar juga. Bagaimanapun, kekalahan ini satu pengalaman berguna buat kami. Kami akan belajar daripadanya dan akan cuba perbaiki,” kata Zakry.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u40mnCg1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan