Khamis, 21 September 2017

Roslin berdepan saingan hebat, laluan Chong Wei mudah



ARKIB : 07/03/2007
Roslin berdepan saingan hebat, laluan Chong Wei mudah

KUALA LUMPUR – Pemain negara, Lee Chong Wei dan Roslin Hashim dijangka menghadapi laluan berbeza apabila gelanggang Kejuaraan Badminton Seluruh England dibuka di Birmingham, England, hari ini.

Chong Wei, pemain nombor tiga dunia, dijangka mudah melepasi pemain India, Anand Chetan manakala Roslin menghadapi saingan sengit menentang pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China pada perlawanan pembukaan.

Ketua jurulatih, Yap Kim Hock ketika dihubungi Bernama di London, semalam berkata, Roslin akan menghadapi saingan paling sukar dalam kalangan pemain perseorangan negara yang turun ke gelanggang esok.

“Undian boleh memihak kepada seseorang dan tidak kepada yang lain dan ini semua adat permainan. Kami perlu menganggapnya sebagai cabaran positif dan harus memberi persembahan terbaik,” kata beliau yang pernah dua kali layak ke perlawanan akhir Seluruh England bersama pasangannya Cheah Soon Kit.

Selain Chong Wei dan Roslin, Lee Tsuen Seng, Yeoh Kay Bin dan Sairul Amar Ayob akan beraksi esok, manakala Hafiz Hashim mara ke pusingan kedua tanpa turun ke gelanggang selepas lawannya pada pusingan pertama Taufik Hidayat dari Indonesia menarik diri.

Penampilan bilangan pemain perseorangan negara pada perlawanan pembukaan boleh meningkat jika Wong Choong Hann, K. Yogendran, Kuan Beng Hong atau Pei Wee Chung melepasi pusingan kelayakan.

Pemain harapan, Kay Bin pula bertemu Park Sung-hwan dari Korea Selatan dan Sairul akan menentang Ng Wei dari Hong Kong serta Tsuen Seng berdepan dengan seorang pemenang pusingan kelayakan.

Dalam perseorangan wanita, pemain utama negara Wong Mew Choo akan bertemu pemain pilihan ketujuh Lu Lan dari China, Julia Wong akan menentang pemenang pusingan kelayakan manakala Anita Raj Kaur bermain di pusingan kelayakan.

Selain acara perseorangan, pemain negara juga akan turut beraksi dalam acara beregu lelaki dan wanita dan beregu campuran esok.

– Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tNHthbFv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan