Jumaat, 15 September 2017

Impian besar Chong Wei



ARKIB : 17/01/2007
Oleh: A.JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu negara Lee Chong Wei ingin memberi tumpuan penuh kepada Terbuka Malaysia terlebih dahulu sebelum boleh berangan-angan untuk muncul juara dunia.

Terbuka Malaysia, kejohanan pembuka tirai siri super daripada 13 kejohanan termasuk Grand Final, yang bermula hari ini hingga Ahad.

Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah satu lagi kejohanan besar tahun ini iaitu Kejohanan Dunia yang akan berlangsung pada Ogos di mana Chong Wei pasti diletakkan harapan tinggi kerana dia dianggap kebal setiap kali beraksi di depan penyokong sendiri.

Pada tahun lepas, dia muncul juara Terbuka Malaysia di Kuching buat kali ketiga berturut-turut setelah menewaskan bintang nombor satu dunia Lin Dan. Kejayaan itu dicapai beberapa bulan selepas dia menjadi juara Kejohanan Asia di Johor Bahru.

Ini menjadikan dia sebagai pilihan untuk muncul juara Kejohanan Dunia buat kali pertama. Apatah lagi, desakan untuk menyaksikan anak Malaysia muncul juara dunia turut dinyatakan oleh Proton yang merupakan penaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Jika pemain Malaysia menang, sumbangan Proton kepada BAM akan ditingkatkan lagi,” kata Pengerusi Holdings Berhad, Datuk Mohammed Azlan Hashim pada majlis menandatangani perjanjian Proton selaku penaja utama Kejohanan Dunia, di Shah Alam semalam.

Kejohanan Dunia akan dipromosikan oleh First Event Promotion yang diwakili pada majlis itu oleh pengerusi eksekutifnya Taufik Omar.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said dan Timbalan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Datuk Punch Gunalan.

Janji Proton itu disahut pula oleh Presiden BAM Datuk Mohd. Nadzmi Salleh yang berkata: “Kami sentiasa mahu melakukan yang terbaik.

“Kejohanan Dunia akan berlangsung di negara ini jadi kita sepatutnya menang. Walaupun undian nanti mungkin tidak menyebelahi pemain-pemain Malaysia tetapi kami akan mencuba yang terbaik.”

Bagaimanapun, Chong Wei tidak ingin terlibat dengan ‘janji mulut’ antara dua pihak atasan itu.

“Saya belum mahu menumpukan perhatian kepada Kejohanan Dunia.

“Masih ada enam bulan lagi untuk membuat persiapan, yang lebih penting sekarang ialah Terbuka Malaysia,” kata Chong Wei, yang menjadi tetamu istimewa pada majlis itu bersama Kuan Beng Hong.

“Saya tidak rasa tertekan untuk menang (Kejohanan Dunia). Tetapi biarlah saya tumpukan kepada cabaran yang lebih hampir terlebih dahulu,” katanya lagi.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu bakal dicabar oleh Bjoern Joppien dari Jerman pada pusingan pertama hari ini.

Ini merupakan kali pertama Malaysia dan Asia menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia selepas 20 tahun.

Ia juga merupakan kejohanan badminton berprestij pertama bakal berlangsung di Kuala Lumpur sejak kali terakhir menjadi tuan rumah Piala Thomas pada tahun 2000.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sk7VTCaw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan