Khamis, 21 September 2017

Tembok Besar halangan Chong Wei



ARKIB : 10/03/2007

LEE CHONG WEI.

BIRMINGHAM – Pemain nombor satu Malaysia dan nombor tiga dunia, Lee Chong Wei dengan mudah menempah tiket ke suku akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton All England selepas menumpaskan Kasper Oedum dari Denmark 21-16, 21-16 di Birmingham National Indoor Arena di sini, semalam.

Chong Wei akan menentang Chen Yu dari China yang mengalahkan Boonsak Ponsana dari Thailand dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Mempamerkan permainan mantap seperti mana tahun lepas yang membolehkannya menduduki ranking teratas dunia, Chong Wei menggunakan kemahiran bermain di jaring dan libasan menyerong untuk memerangkap pemain Denmark itu.

Pukulan smash beliau juga amat berkesan tetapi apabila menentang Chen Yu yang pertahanannya sekental Tembok Besar Negeri China, Chong Wei perlukan tenaga tambahan untuk menewaskannya.

Selain Chong Wei yang merupakan pemain tunggal Malaysia yang masih kekal dalam pertandingan perseorangan lelaki, empat pemain China, diketuai pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Lin Dan turut mara ke suku akhir.

Lainnya yang turut tersenarai ialah Sony Dwi Kuncoro yang menumpaskan Hafiz Hashim, Kenneth Jonassen dari Denmark yang menewaskan pemain Korea Selatan, Park Sung-hwan dan Shoji Sato dari Jepun yang mengalahkan Dicky Palyama dari Belanda.

Palyama yang melakukan kejutan besar dengan menewaskan pakar dari Denmark, Peter Gade, gagal menyerlah semalam manakala pemain Jepun itu cemerlang dengan mencatatkan kemenangan set terus.

Chong Wei bagaimanapun bukan merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang beraksi pada Jumaat kerana dua pasangan beregu turut mara iaitu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah.

Dua lagi beregu, terutamanya pasangan muda Mohd Zakry Abdul Latif/Gan Teik Chai tewas kepada juara bertahan Jens Eriksen/Martin Lungaard dalam set terus 17-21, 20-22.

Mohd. Fairuzizuan Mohd Tazari/Lin Woon Fui pula tewas kepada beregu Korea Selatan, Jung Jae-sung/Lee Yong-dae 11-21, 18-21.

Dengan kekalahan dua pasangan beregu muda itu, Malaysia kini hanya diwakili satu pemain dalam perseorangan lelaki, dua pasangan dalam beregu lelaki, seorang dalam perseorangan wanita dan satu pasangan dalam beregu wanita dalam perlawanan peringkat suku akhir.

– Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tNLbBDfy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan