Sabtu, 23 September 2017

Hafiz, Chong Wei jumpa lagi



ARKIB : 25/04/2007

KUALA LUMPUR – Selepas bertemu sesama sendiri dalam pusingan pertama Terbuka Singapura, dua pemain terbaik negara, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim terpaksa bertemu lagi pada peringkat awal Terbuka Indonesia, kali ini pada pusingan kedua.

Turut menerima undian malang pada kejohanan 8-13 Mei ini ialah pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo, yang berdepan juara dunia dan pemain nombor satu dunia, Xie Xingfang dari China seawal pusingan pembukaan.

Dalam undian yang dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini, semalam, Chong Wei, pilihan kelima dan Hafiz masih tidak mampu untuk mengelak pertembungan peringkat awal.

Malah, bagaikan mengulangi laluan Terbuka Singapura, andai berjaya melangkah ke suku akhir terpaksa berdepan pula pemain nombor satu dunia yang juga juara dunia, Lin Dan dari China.

Begitupun, baik Hafiz mahu pun Chong Wei, cabaran mereka pada Kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM880,000) itu memang tidak mudah sebaik memasuki gelanggang.

Pemain nombor sembilan dunia, Hafiz perlu berdepan pemain tuan rumah paling meningkat ketika ini, Simon Santoso pada pusingan pertama, manakala Chong Wei yang disingkirkan Taufik Hidayat dalam suku akhir Kejohanan Asia (ABC) akan menentang pemain Singapura, Kendrick Lee.

Pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Lee Tsuen Seng, antara yang disebut-sebut untuk beraksi pada Kejohanan Dunia, Ogos ini, memulakan kempen dengan bertemu jaguh Denmark, Kenneth Jonassen.

Selepas mempamerkan prestasi terpuji di ABC minggu lalu, pemain muda negara, Yeoh Kay Bin bakal mengharungi laluan sukar dengan pilihan kedua, Bao Chunlai dari China menanti seawal pusingan pertama.

Rakan sekelab, Tsuen Seng, Sairol Amar Ayob pula memulakan kempen dengan menentang Richard Vaughan dari Wales, namun ujian sebenar pemain itu ialah pada pusingan kedua iaitu dicabar Peter Gade-Christensen dari Denmark

Saingan beregu lelaki juga tidak menjanjikan laluan mudah dengan pasangan nombor satu negara dan juara baru Asia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah bakal berdepan beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun pada pusingan kedua.

Juara Seluruh England, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memulakan kempen dengan bertemu Ashley Brehaut-Aji Basuki dari Australia dan bakal berdepan beregu berpengalaman, Anthonty Clark-Robert Blair dari England atau Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark di pusingan kedua.

Pasangan muda negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock menerima cabaran beregu handalan, Candra Wijaya-Tony Gunawan pada pusingan pertama dan jika melepasi halangan tersebut menanti pada pusingan kedua adalah rakan senegara, Gan Teik Chai-Lin Woon Fui yang memulakan aksi dengan bertemu pemain kelayakan.

Satu lagi pasangan muda Malaysia, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif dijangka menentang beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark pada pusingan kedua manakala Chong Ming Chan-Thien How Hoon berdepan pasangan Poland, Michal Logosz Robert Mateusiak dalam aksi pembukaan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tYMEtxER
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan