Sabtu, 23 September 2017

Chong Wei jumpa Taufik



ARKIB : 13/04/2007
Oleh KAMIL MASLIH

JOHOR BAHRU – Perlawanan suku akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia (ABC) di sini bakal menyaksikan pertembungan sengit antara penyandang juara, Lee Chong Wei dengan pemain nombor satu Indonesia, Taufik Hidayat.

Chong Wei menempah tiket ke suku akhir dengan menewaskan pemain Hong Kong, Ng Wei 21-13, 21-14 sementara Taufik mengenepikan cabaran pemain China, Gong Weijie dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-10, 21-10.

Pemain harapan negara, Chong Wei ternyata mempamerkan permainan yang lebih memberangsangkan ketika menewaskan Ng Wei apabila dia mengawal sepenuhnya gelanggang.

Asakan yang bertubi-tubi menyebabkan Ng Wei tumpas pada pukulan-pukulan tajam Chong Wei sepanjang tempoh 35 minit perlawanan.

Apa yang menarik, ketika perlawanan, Chong Wei sempat mengintai permainan Taufik yang pada masa itu sedang berentap dengan Weijie di gelanggang bersebelahan.

Terdahulu Chong Wei layak ke pusingan ketiga selepas menewaskan Chen Long dari China 21-10, 21-8.

Rekod pertemuan memperlihatkan Chong Wei hanya memenangi dua perlawanan daripada lapan pertemuan menentang pemain dari Indonesia itu.

Kali terakhir kedua-dua pemain bertembung ialah sewaktu Sukan Asia di Doha tahun lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Taufik.

Mengiringi Chong Wei pada saingan suku akhir adalah Yeo Kay Bin yang mengalahkan naib juara kejohanan ABC tahun lalu, Boonsak Ponsana dari Thailand.

Kay Bin yang diheret ke permainan tiga set berjaya menewaskan Boonsak 24-22, 13-21, 23-21 dan dijadual bertemu Chan Yan Kit dari Hong Kong.

Hasrat untuk melihat seorang lagi pemain negara layak ke suku akhir tidak kesampaian dengan Lee Tsuen Seng tumpas kepada Nakanishi Yousuke dari Jepun 18-21, 21-17, 21-23.

Sebelum itu, pemain adik beradik, Roslin Hashim dan Mohd. Hafiz Hashim terkandas di pusingan kedua bersama pemain veteran, Wong Choon Hann.

Roslin tewas kepada Shong Seung Mo dari Korea Selatan 17-21, 13-21 sementara adiknya, Hafiz gagal menandingi Lu Qi Cheng 18-21, 20-22.

Choon Han pula tumbang kepada pemain Indonesia, Santoso Simon 23-25, 13-21.

Sementara itu, Wong Mew Choo menjadi satu-satunya pemain perseorangan wanita negara layak ke suku akhir dengan menewaskan pemain India, Murgunde Trupti 22-20, 21-10. Di suku akhir hari ini, Mew Choo akan bertemu pemain Jepun, Mizuki Fuji.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tWLtrIv9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan