Sabtu, 23 September 2017

Taufik tunggu Chong Wei di suku akhir



ARKIB : 03/04/2007

KUALA LUMPUR – Pemain Indonesia, Taufik Hidayat bakal menanti pemain utama negara, Lee Chong Wei pada suku akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Johor Bharu dari 10-15 April ini.

Dalam undian yang dikeluarkan Konfederasi Badminton Asia (BAC) semalam, Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan juga berdepan laluan getir jika dapat melepasi Taufik.

Jika menang, menantinya dalam separuh akhir ialah Chen Yu dari China, pemain yang menewaskannya pada suku akhir Seluruh England, bulan lalu.

Hakikatnya, Chong Wei berdepan laluan sukar kali ini jika berhasrat mahu menamatkan kemarau kejayaannya di peringkat antarabangsa.

Seorang lagi pemain China, Chen Hong yang diletakkan sebagai pilihan kedua merupakan halangan terakhir Chong Wei untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Sementara itu, ketiadaan beregu utama dari China, Indonesia dan Korea Selatan memberi laluan mudah buat beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk muncul juara.

Dalam undian yang dikeluarkan Konfederasi Badminton Asia semalam, juara Seluruh England itu dijangka hanya bakal berdepan tentangan daripada beregu senegara, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Pada kejohanan kali ini, Tan Fook-Wan Wah diletakkan sebagai pilihan pertama manakala Kien Keat-Boon Heong pilihan kedua.

Mereka dijangka bertemu pada perlawanan akhir. Kedua-dua beregu itu sudah pun melayakkan diri ke kejohanan dunia Ogos ini.

Bagaimanapun, kemenangan pada Kejohanan ABC ini mampu memperbaiki ranking mereka untuk mendapat laluan lebih selesa dalam kejohanan dunia itu nanti.

Acara beregu Kejohanan ABC sedikit hilang seri dengan ketiadaan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun (China) di samping Luluk Hadiyanto-Alvin Yulianto (Indonesia) dan beregu muda sedang meningkat naik dari Korea Selatan yang begitu dibimbangi jurulatih Rexy Mainaky.

Namun, buat kali pertama, peminat badminton negara ini berpeluang menyaksikan sejauh mana kemampuan dua beregu kita yang baru digandingkan beraksi iaitu Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairurizuan Tazari dan Lin Woon Fui-Gan Teck Chai.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tVQkKeHB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan