Sabtu, 23 September 2017

Chong Wei taruhan terbaik



ARKIB : 02/05/2007

SINGAPURA – Apa juga yang dikata dan dilakukan terhadap Lee Chong Wei, dia masih harapan terbaik Malaysia untuk membawa cabaran negara bagi acara perseorangan lelaki Siri Super Terbuka Singapura yang bermula di Stadium Tertutup di sini hari ini.

Ketika para pencabar lain yang telah berkumpul di sini mempamerkan keyakinan sebagai pemain yang berpotensi untuk muncul juara, Chong Wei masih dalam keadaan samar-samar berikutan persembahannya yang menurun ekoran misinya yang gagal pada Kejohanan Dunia di Madrid tujuh bulan lalu.

Sejak itu pemain No. 1 Malaysia itu tidak pernah melepasi peringkat suku akhir dalam enam kejohanan yang disertainya setakat ini bermula dengan Sukan Asia Doha dan yang terakhir Kejohanan Badminton Asia di Johor Bahru bulan lepas selain Terbuka Malaysia, Terbuka Korea, Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Itu sesuatu yang amat mengecewakan bagi seorang pemain yang pernah dinobatkan sebagai pemain No, 1 hanya setahun yang lalu dan beliau kini tidak lagi dianggap sebagai mempunyai tahap kecergasan yang membolehkannya muncul juara.

Lagipun, terdapat ramai pemain lain yang mempamerkan pencapaian yang tinggi dan meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih selesa untuk menjuarai kejohanan seperti pemain No, 1 dunia dari China, Lin Dan dan pemain Indonesia, Taufik Hidayat. Mungkin juga pemain handalan Denmark, Peter Gade Christensen, penyandang juara dari China, Chen Jin, yang baru-baru ini muncul juara Terbuka Switzerland.

Chong Wei kini menduduki ranking No. 5 dalam kejohanan itu, yang bermakna dia hanya dalam kedudukan “cukup makan” sahaja untuk menempatkan diri sebagai lapan pemain terakhir.

Dalam pusingan pertama hari ini dia akan bertemu rakan senegara Muhd. Hafiz Hashim dan berkemungkinan maju ke pusingan kedua bertemu pemain Thailand. Boonsak Polsana untuk bertemu Lin Dan, penyandang juara dunia dan pemain yang telah memenangi dua daripada empat kejohanan Siri Super setakat ini – Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Korea – dalam perlawanan suku akhir yang berkemungkinan menemukan kedua-dua pemain itu.

Namun, kem Malaysia di sini masih mengharapkan Chong Wei dapat bangkit semula di sini. Lagipun, Stadium Tertutup Singapura selalunya memberi tuah kepadanya, yang hanya kalah di peringkat akhir pada siri 2004 dan di pusingan ketiga pada 2005.

“Ramai yang tidak menaruh harapan tinggi kepadanya (Chong Wei). Tapi saya melihatnya agak berbeza. Bagi saya, Singapura mungkin satu permulaan baru bagi Chong Wei. Dia kini di bawah bimbingan jurulatih Misbun (Sidek) selama sebulan dan sebagai seorang pegawai, saya telah dapat melihat perubahan dalam dirinya.

“Dia kini lebih fokus dan berlatih dengan lebih pintar lagi akhir-akhir ini serta mempunyai keazaman tinggi untuk mendaki semula anak tangga hingga ke puncak,” kata pengurus pasukan How Kim Tho.

Tapi persoalannya kini ialah siapakah yang akan dapat mengalahkan Lin Dan untuk meraih juara perseorangan lelaki?

Mungkin Taufik, jaguh badminton Indonesia yang pernah memenanginya dua kali sebelum ini iaitu pada 1999 dan 2005 dan pemenang pingat emas Sukan Asia Doha selain bertuah kerana daripada cabutan undi, ada kemungkinan kedua-keduanya bertemu pada perlawanan akhir.

Lin Dan belum pernah memenangi Terbuka Singapura walaupun mencatat banyak kemenangan di tempat lain termasuk Kejohanan Dunia 2006 dan juara Seluruh England.

“Bagi saya dengan kehadiran para pemain ternama di Singapura, saya menganggapnya sebagai satu cabaran besar untuk muncul juara,” kata pemain China itu.

Turut bersedia merebut gelaran juara ialah pasangan beregu lelaki Malaysia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, pasangan yang telah mengejutkan dunia badminton dalam tempoh lima bulan lepas.

Pasangan itu telah memenangi pingat emas Sukan Asia Doha pada Disember, Terbuka Malaysia, Seluruh England dan Terbuka Switzerland. Selain menyandang tempat kedua Kejohanan Badminton Asia bulan lepas, mereka juga disebut-sebut akan menjuarai kejohanan di sini.

Mereka juga telah mengucar-ngcirkan kedudukan ranking di sini kerana walaupun mereka menduduki ranking No. 5, dua pasangan beregu yang menduduki kedua-dua ranking teratas, Fu Haifeng-Cai Yun dari China pada kedudukan No. 1 dan Jens Eriksen-Martin Lungaard Hansen dari Denmark pada ranking No. 2 pernah kecundang kepada kehandalan beregu muda dari Malaysia itu.

“Kami tidak akan mengambil mudah perlawanan di sini. Namun, kami tetap bersedia untuk melawan dan mencuba bersungguh-sungguh untuk menang,” kata Kien Keat. Itu adalah berita buruk bagi yang lain.

– Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tYgpO2SU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan