Rabu, 4 Oktober 2017

Chong Wei, beregu emas mara



ARKIB : 20/07/2007


KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz Hashim terus bergelut dengan masalah prestasi yang serius menjelang Kejohanan Badminton Dunia bulan depan apabila menerima kekalahan tidak sepatutnya kepada pemain tidak ternama Rusia, Stanislav Pukhov pada pusingan kedua Terbuka Filipina, semalam.

Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM412,800) itu bagaimanapun diteruskan perseorangan utamanya, Lee Chong Wei dan beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang melayakkan diri ke suku akhir.

Selepas terkeluar seawal pusingan kedua China Masters minggu lalu, Hafiz tewas lagi di peringkat yang sama, kali ini 21-13, 21-23, 13-21 kepada Pukhov, satu nama yang amat asing buat peminat badminton negara.

Kekalahan terbaru ini pasti menuntut jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek melakukan sesuatu ke atas bekas juara Seluruh England itu pada ketika Kejohanan Dunia tinggal kurang sebulan untuk diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 13-19 Ogos ini.

Sementara itu, Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan pemain nombor satu England, Andrew Smith 21-12, 21-16 untuk menempah pertemuan dengan pemain remaja China, Gong Weijie pada suku akhir hari ini.

Pilihan pertama, Kien Keat-Boon Heong pula melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan Rasmus Mangor Andersen-Peter Buur Steffensen dari Denmark 21-8, 21-14.

Juara Seluruh England, Terbuka Malaysia dan Switzerland itu akan bertemu beregu Indonesia, Rian Sukmawan-Yonathan Dasuki yang mara selepas mengalahkan pasangan negara, Chew Choon Eng-Hong Chieng Hun 21-14, 22-20.

Cabaran beregu remaja negara, Mohd. Razif Abdul Latif-Chan Peng Soon turut berakhir awal selepas kalah 21-19, 16-21, 19-21 di tangan Tsai Chia Hsin-Hu Chung Hsien dari Taiwan.

Terdahulu, wakil perseorangan Malaysia pada Kejohanan Dunia, Lee Tsuen Seng tersingkir di pusingan ketiga selepas tewas kepada jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 20-22, 15-21.

Pemain skuad pelapis, Chan Kwong Beng pula nyata bukan tandingan pilihan utama, Chen Hong dari China apabila tumpas 17-21, 11-21.

Cabaran Malaysia dalam acara wanita berakhir dengan kekalahan Julia Wong kepada Zhu Jingjing dari China 14-21, 18-21 diikuti kekalahan 12-21, 17-21 beregu remaja, Chong Sook Chin-Amelia Alicia Ansellydi tangan pasangan Taiwan, Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uXW5P9eV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan