Isnin, 10 April 2017

Chong Wei, beregu terkandas


 ARKIB : 24/01/2004
LEE CHONG WEI gagal memenuhi harapan Malaysia dan misi peribadi untuk menjulang kejuaraan badminton Terbuka Thailand selepas terkandas pada suku akhir perseorangan lelaki di Stadium Nasional, Bangkok, semalam.

Juara kebangsaan berusia 22 tahun itu gagal mengatasi pemain pilihan utama kejohanan, Ng Wei dari Hong Kong pada perlawanan sengit tetapi berlanjutan hanya dalam dua set permainan.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kelima, bermain baik pada set pertama dan berjaya memaksa perlawanan ke deuce selepas kedudukan terikat 14-14 tetapi Ng Wei menang dengan 17-15.

Naib juara Terbuka Malaysia yang juga pemain nombor 19 dunia itu kemudian berusaha bangkit pada set kedua tetapi Ng Wei ternyata lebih gagah dan menepati status selaku pilihan utama, menundukkan pemain muda negara dengan kemenangan 15-10.

Ng Wei mara ke separuh akhir kejohanan dua bintang yang menawarkan hadiah wang tunai RM190,000 itu dengan menentang pemain Belanda, Dicky Palyama.

Palyama mengejutkan juara bertahan kejohanan ini, Ronald Susilo dari Singapura dengan kemenangan 15-6, 15-2.

Satu lagi separuh akhir mempertemukan naib juara tahun lalu yang juga pemain tuan rumah, Boonsak Polsana dengan pemain Korea, Park Tae Sang.

Boonsak menewaskan Simon Santoso dari Indonesia 15-7, 15-9 pada suku akhir manakala Tae Sang menundukkan Agus Hariyanto yang mewakili Hong Kong 15-6, 15-3.

Dalam pada itu semua pasangan beregu negara gagal meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga selepas tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan kedua.

Pasangan Hong Chieng Hun-Lin Woon Fui terkandas apabila tewas mudah straight set kepada beregu England, Nathan Robertson-Anthony Clark 15-6, 15-1.

Manakala beregu Hoon Thien How-Tan Boon Heong pula tewas kepada pasangan tuan rumah, Sudket Prapakamol-Patapol Ngernsrisuk juga dengan straight set 15-8, 15-4.

Satu lagi beregu negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock berentap sengit sehingga ke rubber-game dengan beregu Taiwan, Huang Shih Chung-Chien Yu Hsun.

Pasangan negara tewas 10-15 pada set pertama tetapi bangkit pada set kedua dengan kemenangan 15-9.

Pada rubber-game, Bin Shen-Soon Hock memberi tentangan hebat sebelum akhirnya tunduk 12-15.

KEPUTUSAN:
Perseorangan lelaki (suku akhir): LEE CHONG WEI (MAS) kalah kepada Ng Wei (HKG) 15-17, 10-15; Dicky Palyama (NED) kalahkan Ronald Susilo (SIN) 15-6, 15-2; Boonsak Polsana (THA) kln Simon Santoso (INA) 15-7, 15-9; Park Tae Sang (KOR) kln Agus Hariyanto (HKG) 15-6, 15-3.

Beregu lelaki (pusingan kedua): HONG CHIENG HUN-LIN WOON FUI (MAS) kk Nathan Robertson-Anthony Clark (ENG) 6-15, 1-15; HOON THIEN HOW-TAN BOON HEONG (MAS) kk Sudket Prapakamol-Patapol Ngernsrisuk (THA) 8-15, 4-15; TAN BIN SHEN-ONG SOON HOCK (MAS) kk Huang Shih Chung-Chien Yu Hsun (TPE) 10-15, 15-9, 12-15.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4drDjOJxi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan