Ahad, 30 April 2017

Chong Wei pemain No. 1 negara

ARKIB : 27/11/2004
LEE Chong Wei akhirnya bergelar pemain nombor satu negara berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa semalam, kedudukan yang bagaimanapun belum cukup menggembirakan pemain itu kerana masih tersisih daripada kelompok 10 terbaik dunia.
Kejayaan muncul naib juara Terbuka Singapura minggu lalu membolehkan Chong Wei naik tiga anak tangga daripada tempat ke-16 kepada ranking 13 dunia.
Juara Terbuka Malaysia itu berada pada kedudukan terbaik di kalangan perseorangan utama negara selepas Muhd. Roslin Hashim jatuh daripada ranking 15 kepada 17, manakala Wong Choong Hann berada di tangga ke-20.
``Bergelar pemain nombor satu negara tidak membawa banyak makna kepada saya kalau ranking dunia masih tidak begitu baik,'' akui Chong Wei yang juga juara kebangsaan.
``Begitupun saya tetap menganggap ini sebagai satu penyuntik semangat apabila berlepas ke Taiwan (untuk kejohanan Terbuka Taiwan), Ahad ini.''
Chong Wei mengakui dia masih berharap untuk menutup tirai 2004 dalam kedudukan 10 terbaik dunia dan bagi merealisasikan hajat tersebut dia harus mencatat keputusan terbaik di Taiwan (30 November hingga 5 Disember) dan Terbuka Indonesia bulan depan.
Katanya, peluang untuk melayakkan diri sekurang-kurangnya ke separuh akhir pada di Taiwan tampak cerah apabila dia diletak sebagai pilihan kedua di belakang Roslin.
``Roslin tidak beraksi pada kejohanan itu, jadi secara automatik saya akan menjadi pilihan pertama. Melihat kepada undian, ujian sebenar bermula di suku akhir bertemu rakan senegara, (Yeoh) Kay Bin.
``Kalau semuanya berjalan seperti dirancang, kita mungkin akan melihat pertemuan dua pemain Malaysia di final. Saya kemungkinan berdepan Choong Hann.''
Sementara itu dalam ranking dunia semalam, Lin Dan dari China terus menerajui senarai perseorangan lelaki, manakala pasangan Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen kekal sebagai beregu nombor satu dunia. Pasangan negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula berada di ranking ketujuh.
Beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang mengejutkan pasangan nombor dua dunia, Wei Yili-Zhao Tingting dari China di suku akhir Terbuka Singapura memperbaiki tujuh anak tangga ke ranking 11 dunia. Ini adalah kedudukan terbaik pernah dicatat anak didik Cheah Soon Kit itu.
RANKING TERBARU DUNIA:
LELAKI, perseorangan: 1. Lin Dan (Chn); 2. Peter Gade-Christensen (Den); 3. Kenneth Jonassen (Den); 4. Bao Chunlai (Chn); 5. Chen Hong (Chn); 6. Taufik Hidayat (Ina); 8. Xia Xuanze (Chn); 9. Ronald Susilo (Sin); 10. Dicky Palyama (Ned); 13. LEE CHONG WEI; 17. MUHD. ROSLIN HASHIM; 20. WONG CHOONG HANN; 29. MUHD. HAFIZ HASHIM; 44. KUAN BENG HONG; 46. SAIRUL AMAR AYOB
Beregu: 1. Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen (Den); 2. Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto (Ina); 3. Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den); 4. Fu Haifeng-Cai Yun (Chn); 5. Flandi Limpele-Eng Hian (Ina); 6. Sang Yang-Zheng Bo (Chn); 7. CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH (MAS); 8. Anthony Clark-Nathan Robertson (Eng); 9. Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon (Kor); 10. Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung (Kor); 20. CHAN CHONG MING-CHEW CHOON ENG; 34. MOHD. FAIRUZIZUAN TAZARI-LIN WOON FUI; 37. TAN BIN SHEN-ONG SOON HOCK
WANITA, perseorangan: 1. Zhang Ning (Chn); 2. Zhou Mi (Chn); 3. Pi Hongyan (Fra); 4. Gong Ruina (Chn); 5. Mia Audina (Ned); 6. Yao Jie (Ned); 7. Xie Xingfang (Chn); 8. Jun Jae Young (Kor); 9. Wang Chen (Hkg); 10. Xu Huaiwen (Ger); 52. WONG MEW CHOO
Beregu: 1. Yang Wei-Zhang Jiewen (Chn); 2. Wei Yili-Zhao Tingting (Chn); 3. Gao Ling-Huang Sui (Chn); 4. Saralee Thungthongkam-Sathinee Chankrachangwong (Tha); 5. Ra Kyung Min-Lee Kyung Won (Kor); 6. Nicole Grether-Juliane Schenk (Ger); 7. Chien Yu-Chin-Cheng WenHsing (Tpe); 8. Zhang Dan-Zhang Yawen (Chn); 9. Ella Tripp-Joanne Wright (Eng); 10. Rikke Olsen-Ann-Lou Jorgersen (Den); 11. WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4fn3PDtDA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan