Sabtu, 8 April 2017

Chong Wei tetap berpeluang



ARKIB : 09/01/2004

PENYANDANG juara, Lee Chong Wei berada dalam laluan yang baik untuk mempertahankan gelaran juara apabila dia menewaskan Mohd. Hazwan Jamalluddin pada hari pertama pusingan akhir Badminton Grand Prix Kebangsaan Proton-EON 2003 di Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan (NSCRC), Seremban semalam.

Pemain berusia 21 tahun dari Pulau Pinang itu hanya mengambil masa 25 minit sebelum mengetepikan cabaran pemain Negeri Sembilan itu dengan kemenangan 15-5, 15-10.

Chong Wei dijangka mempertahankan kejuaraannya dengan ketiadaan tiga pemain badminton utama negara, Wong Choong Hann serta pemain dua bersaudara, Roslin dan Hafiz Hashim dalam kejohanan itu.

Tiga pemain utama itu tidak mengambil bahagian dalam dua pusingan yang diadakan masing-masing di Selangor (April) dan di Kuala Lumpur pertengahan Disember lalu kerana menyertai kejohanan antarabangsa.

Lee Tsuen Seng, satu-satunya pemain senior kebangsaan yang beraksi menang mudah ke atas Azrihanif Azahar 15-3, 15-4.

Dalam perlawanan lain, Kuan Beng Hong menang 15-9, 15-10 ke atas Mohd. Nazree Latifi manakala Yeoh Kay Bin terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Sairul Amar Ayob 13-15, 15-9, 15-3.

Pemain-pemain lain yang menang ialah Tan Zhao Rong yang mengalahkan Ismail Saman 17-16, 15-13 dan Ramesh Nathan yang menumpaskan Salim Samion 15-11, 15-3.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Vietnam, Wong Mew Choo membuktikan bahawa dia berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila menewaskan Ooi Yu Hang 11-1, 11-3 dalam bahagian wanita.

Pasangan Koo Kien Keat/Chin Eei Hui pula mengetepikan Tan Bin Shen/See Phui Leng 15-7, 15-4.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4djORkQI9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan