Sabtu, 29 April 2017

Hafiz gagal sekat Chong Wei muncul juara

ARKIB : 13/10/2004
JUARA Terbuka Malaysia dan Melaka, Lee Chong Wei membuktikan dia adalah pemain nombor satu negara ketika ini apabila muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Selangor, semalam.
Sekali lagi mangsa Chong Wei dalam perlawanan di Dewan Jalan Kg. Attap itu adalah Muhammad Hafiz Hashim, pemain yang turut dikalahkannya di akhir Terbuka Melaka, dua minggu lalu.
Chong Wei bagaimanapun mengambil masa tepat sejam untuk menang 15-9, 13-15, 15-9 dalam perlawanan yang turut disaksikan Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh.
Set pertama, kedua-dua pemain saling mengejar mata antara satu sama lain dengan langsung tidak membenarkan lawan menjarakkan diri.
Selepas terikat 2-2, 4-3 dan 8-7, Chong Wei mula mengorak langkah dengan memungut empat mata berturut-turut hasil kesilapan Hafiz menghantar bulu tangkis ke luar gelanggang.
Selepas membenarkan memungut satu lagi mata, pemain dari Pulau Pinang itu melakukan tiga pukulan smash di sebelah kiri Hafiz untuk menamatkan permainan.
Set kedua, senario yang sama berlaku di peringkat awal dengan kedua-dua pemain terikat hingga ke mata 8-8.
Bagaimanapun keletihan mula menguasai pergerakan pantas Chong Wei dan ini memberi kesempatan kepada Hafiz bangkit daripada ketinggalan 10-11.
Selepas merampas servis, Hafiz memungut empat mata berturut-turut untuk mendahului 14-11.
Pada kedudukan itu, kelemahan Hafiz untuk menamatkan perlawanan mula terserlah dan ini memberi ruang kepada Chong Wei merapatkan kedudukan kepada 14-13.
Hafiz kemudiannya memerlukan empat kali servis sebelum berjaya menamatkan permainan dengan 15-13 untuk mengheret Chong Wei ke set ketiga.
Jelas senario permainan berbeza sama sekali berbanding dua set sebelum itu di mana Chong Wei lebih menguasai permainan di set penentuan itu.
Dia mudah mendahului Hafiz dengan 3-0, 7-1 dan 12-3 sebelum Hafiz sedikit demi sedikit menyerap tekanan untuk mengejar dari belakang.
Lima kesilapan Chong Wei menghantar bola keluar membolehkan Hafiz merapatkan kedudukan kepada 8-12.
Bagaimanapun ia sudah terlambat untuk menyekat Chong Wei yang kembali mengamalkan permainan menyerang.
Selepas membenarkan Hafiz memungut satu lagi mata, Chong Wei tidak menoleh ke belakang lagi apabila dua pukulan Hafiz terkandas di jaring untuk memberikan kjuaraan kepadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan