Khamis, 6 April 2017

Chong Wei cipta sejarah ke akhir



ARKIB : 07/09/2003
JUARA kebangsaan, Lee Chong Wei mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas menewaskan Lee Hyun Il dari Korea dengan straight set 15-11 dan 15-1 di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu semalam.

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama oleh pemain nombor satu negara, Wong Choong Han yang terpaksa akur dengan ketangkasan pemain pilihan pertama, Chen Hong dari China apabila tewas 13-15 dan 7-15.

Malaysia juga mengakhiri cabaran dalam acara beregu lelaki apabila Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tewas kepada Lee Dong Soo-Kim Dong Moon dari Korea 5-15, 6-15.

Dengan keputusan itu, Chong Wei yang mempamerkan permainan menarik dan menghiburkan akan berhadapan dengan Chen Hong pada perlawanan akhir hari ini untuk menentukan siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM36,480 (US9,600).

Pemain berusia 21 tahun itu bijak mengawal permainan sehingga berjaya mengucar-kacirkan pergerakan lawan yang lebih berpengalaman sekaligus melebarkan rekod kejutan yang dilakukannya dalam kejohanan empat bintang ini.

Dalam pusingan awal sebelum ini, Chong Wei menewaskan Roslin Hashim, Niels Christian Kaldau dari Denmark dan jaguh China, Bao Chunlai dalam perlawanan suku akhir kelmarin.

Dari awal permainan, Chong Wei mendahului lawannya 9-6 sehingga pada suatu ketika berjaya dikejar oleh Hyun Il dan menyamakan kedudukan 9-9. Bagaimanapun, Chong Wei bijak mengatur strategi dengan membuat hantaran ke garisan belakang dan sesekali membuat ``drop shot'' untuk memerangkap lawannya.

Selepas berjaya memperoleh servis, Chong Wei terus mengutip mata demi mata sehinggalah 15-11 untuk menewaskan lawannya dalam masa 35 minit.

Ia sekaligus menebus kekalahannya kepada Hyun Il dalam rubber game pada pusingan ketiga Terbuka Singapura, dua minggu lepas.

Pada set kedua, Chong Wei terus cemerlang apabila mendahului 8-0 sebelum lawannya memperoleh mata pertama. Dengan sokongan padu kira-kira 2,000 penonton yang memenuhi stadium, dia semakin yakin dan menamatkan permainan dalam masa 15 minit.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek berkata, Chong Wei bermain dengan amat baik dan berjaya melaksanakan strategi yang diatur untuk berhadapan dengan lawannya.

``Chong Wei berjaya menggunakan segala peluang yang ada selain lebih pantas daripada Hyun Il serta bermain dengan yakin. Kemenangan itu juga menepati ramalan awal saya kerana Chong Wei berada dalam keadaan yang amat bersedia.

Sementara itu, Misbun berkata, kekalahan Choong Hann adalah kerana jaguh China itu berjaya menguasai gelanggang dengan membuat hantaran ke belakang sekaligus menyukarkan untuk membuat serangan.

KEPUTUSAN:

Perseorangan Lelaki: Chen Hong (CHN) kln WONG CHOONG HANN (MAS) 15-13, 15-7; LEE CHONG WEI (MAS) kln Lee Hyun Il (KOR) 15-11, 15-1.

Perseorangan Wanita: Zhou Mi (CHN) kln Xie Xingfang (CHN) 11-2, 11-3;

Camilla Martin (DEN) kln Gong Ruina (CHN) 11-4, 11-4.

Beregu Campuran: Kim Dong Moon/Ra Kyung Min (KOR) kln Zhang Jun/Gao Ling (CHN) 15-5, 11-15, 15-10 ; Nathans Robertson/Gail Emms (ENG) kln Jonas Rasmussen/Rikke Olsen (DEN) 15-6, 15-10.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dU0STYfL
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan