Isnin, 24 April 2017

Sukan Olimpik - Chong Wei atasi tekanan

ARKIB : 13/07/2004
JUARA kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2004, Lee Chong Wei tidak mahu meletakan dirinya berada dalam tekanan dengan tidak memikirkan secara serius harapan mengutip pingat dalam sukan itu di Olimpik Athens bulan depan.
Status pemain bukan pilihan turut membantu dia berada dalam situasi selesa kerana harapan pingat lebih disandarkan kepada pemain nombor satu negara, Wong Choon Hann.
Begitupun, Chong Wei tidak menafikan dia tetap mengimpikan pingat Olimpik pertama secara peribadi dengan berpegang kepada prinsip semua pemain yang layak ke Olimpik mempunyai harapan untuk memungut pingat.
Menurut pemain berusia 21 tahun itu, menjelang kira-kira sebulan berlangsungnya Olimpik Athens bukanlah masa yang sesuai untuk meletakkan sasaran terlalu tinggi untuk meraih pingat Olimpik.
``Ia adalah strategi psikologi diri sendiri kerana jika saya meletakkan harapan yang tinggi, ia hanya akan mewujudkan tekanan.
``Dalam saat segetir sekarang, saya tidak mahu berdepan sebarang tekanan.
``Sebaliknya saya berasa selesa apatah lagi tumpuan pingat lebih kepada Choon Hann.
``Ini membolehkan saya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan pusat menjelang Olimpik kira-kira empat minggu lagi,'' katanya.
Chong Wei, yang muncul naib juara kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2003, layak ke Athens bersama dua lagi pemain perseorangan negara, Roslin Hashim dan Wong Choon Hann.
Pasukan badminton negara kini menjalani latihan pusat di bawah kelolaan ketua jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Walaupun `tidak berani' meletakan harapan yang menggunung untuk pingat di Athens, Chong Wei berkata, harapan untuk pingat tetap ada.
``Semua yang bertanding di Athens mahu menang pingat, begitu juga saya.
``Begitupun saya hanya akan memikirkan sasaran itu secara serius apabila tiba di Athens kelak.
``Ketika itu saya dapat menilai prestasi semasa kerana saya sudah bersedia sepenuhnya,'' katanya yang menduduki ranking ke-15 Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).
Chong Wei juga tidak menafikan kejuaraan Terbuka Malaysia yang dimenangi di Kuantan, Pahang baru-baru ini menjadi pendorong kepadanya berlatih bersungguh-sungguh untuk ke Athens.
``Tetapi saingan di Athens lebih getir kerana ia disertai oleh semua pemain di ranking teratas dunia.
``Untuk itu, latihan kini tertumpu kepada aspek ketahanan stamina dan mental,'' katanya yang menjalani latihan dua sesi sehari, 7.30 hingga 11 pagi dan tiga jam lagi di sebelah petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan