Sabtu, 8 April 2017

Chong Wei, Mew Choo jadi juara



ARKIB : 22/12/2003

JUARA kebangsaan, Lee Chong Wei dan juara Sukan SEA, Wong Mew Choo menepati ramalan apabila muncul juara perseorangan lelaki dan wanita badminton Terbuka Kuala Lumpur di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Naib juara Terbuka Malaysia dan pilihan pertama, Chong Wei mudah mengetepikan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Kuan Beng Hong 15-3, 15-7 untuk menggondol RM4,000.

Ini merupakan gelaran Terbuka tempatan pertama buat Chong Wei, tetapi kejuaraan yang ketiga keseluruhan tahun ini selepas Grand Prix Kebangsaan Akhir dan Terbuka Luster.

Terdahulu dalam saingan separuh akhir pada sebelah pagi, Chong Wei mengalahkan Yeoh Kay Bin 15-13, 15-13. Beng Hong pula mengejutkan pemain senior dan pilihan kedua, Lee Tsuen Seng 15-7, 15-8.

Sementara itu Mew Choo, yang masih segar dengan kejayaan muncul pemain wanita pertama meraih pingat emas Sukan SEA selepas 26 tahun, berjaya mempertahankan gelaran Terbuka Kuala Lumpur dengan menewaskan Woon Sze Mei 11-3, 11-3.

Pemenang anugerah Olimpian Wanita 2003 itu bagaimanapun hampir dikejutkan oleh pemain remaja, Norsyahliza Baharom di separuh akhir apabila tewas 3-11 pada set pertama, sebelum bangkit untuk menang 11-4, 11-4. Mew Choo membawa pulang RM2,000.

Pasangan nombor satu negara dan juara Sukan SEA, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tidak menghadapi masalah untuk menjuarai beregu lelaki dan meraih RM6,000 apabila mudah mengetepikan beregu remaja, Koo Kien Keat-Gan Teik Chai 15-7, 15-5.

Gelaran beregu wanita pula milik Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang mengalahkan pasangan Norashikin Amin-Fong Chew Yen 15-7, 15-7 untuk membawa pulang RM2,400.

Gandingan Kien Keat-Eei Hui membawa pulang kejuaraan beregu campuran dengan kemenangan 15-5, 15-13 ke atas Teih Chai-Chew Yen untuk mengutip RM1,600.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4diuUNHy2
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan