Ahad, 16 April 2017

Chong Wei perlu buktikan

ARKIB : 24/03/2004
LEE Chong Wei perlu menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di kejohanan badminton Terbuka Korea dan Terbuka Jepun untuk memastikan dia menduduki ranking 16 pemain terbaik dunia untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik di Athens, Ogos ini.
Chong Wei, naib juara Terbuka Malaysia disenaraikan untuk beraksi di Terbuka Korea 30 Mac - 4 April ini serta Terbuka Jepun (6-11 April), dua daripada tiga pertandingan terakhir untuk memburu mata ke Sukan Olimpik.
``Saya mahu dia menggunakan peluang di tiga kejohanan terakhir ini untuk meletakkan dirinya dalam kelompok 16 pemain terbaik dunia.
``Dia telah menunjukkan peningkatan ketara daripada ranking ke-118 dunia lebih setahun lalu dan dia sudah begitu hampir dengan sasaran melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
``Chong Wei harus bekerja keras untuk menjadi pemain perseorangan ketiga negara ke temasya ini,'' kata ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek.
Menurut Misbun, walaupun hanya selangkah lagi untuk layak, namun pemain berusaha 21 tahun itu tidak harus mengambil mudah kedudukan tersebut sebaliknya berusaha keras untuk mengumpul mata.
``Pemburuan mata untuk ke Olimpik masih berjalan. Tidak ada pemain yang boleh dikatakan pasti beraksi di sana kerana masih ada baki tiga pertandingan.
``Malah pemain yang dikatakan berada dalam kedudukan selesa pun boleh terlepas peluang sekiranya tidak mengekalkan prestasi mereka,'' katanya yang ditemui selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
Menurut Misbun, prestasi semasa latihan bakal menjadi penentu kredibiliti dan kemampuan pemain untuk beraksi cemerlang pada Sukan Olimpik.
Selain daripada Chong Wei, dua lagi pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann dan Roslin Hashim yang hampir pasti tersenarai ke Sukan Olimpik turut dihantar ke kedua-dua kejohanan itu.
Pemain beregu, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah turut beraksi bersama-sama Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang masih berusaha untuk mendapat tiket ke Sukan Olimpik.
Tan Fook-Wan Wah yang menduduki ranking kelima dunia hampir pasti ke Athens tetapi Chong Ming yang baru pulih daripada kecederaan meneruskan cabaran bersama-sama pasangannya, Choon Eng untuk memburu tiket kedua ke temasya itu.
Chong Ming dan Choon Eng kini menduduki ranking ke-37 dunia dan mereka perlu berada sekurang-kurangnya di tangga ke-25 untuk memperoleh peluang ke temasya.
Hanya 16 beregu terbaik dunia akan layak secara automatik ke temasya itu sementara beberapa pemain lain dipilih daripada senarai 64 terbaik berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Penganjur kejohanan Sukan Olimpik Athens menyediakan 172 katil untuk pemain badminton dan penyenaraian pemain turut dibuat berdasarkan keperluan memenuhi jumlah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan