Ahad, 23 April 2017

Chong Wei teruskan cabaran

ARKIB : 03/07/2004

Oleh AIZAWATI AHMAD dan ALI MAHMOOD

CHONG Wei melambai tangan kepada penonton di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan semalam selepas mengalahkan Bao Chunlai dari China untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia. - Gambar GHAZALI BASRI.


LEE Chong Wei meneruskan cabaran negara pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas mengejutkan pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai dari China dalam saingan suku akhir di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan semalam.
Malaysia juga mengesahkan tempat ke perlawanan akhir beregu lelaki selepas Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menempah pertemuan dengan rakan senegara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock pada separuh akhir.
Wakil negara ke Sukan Olimpik Athens, Chong Wei bakal berdepan satu lagi halangan getir, menentang penyandang juara dan pemain nombor dua dunia, Chen Hong juga dari China hari ini.
Semalam Chong Wei, 22, perseorangan tunggal negara pada saingan suku akhir dipaksa bertarung selama 43 minit sebelum mengetepikan naib juara Terbuka Jepun, Chunlai 15-10, 15-11.
Perlawanan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi selepas Chunlai dikenakan kad kuning sebagai amaran kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dari Korea, Chung Young-sik membatalkan pukulannya selepas raketnya melepasi jaring.
Insiden tersebut jelas mengganggu permainan pemain muda China itu yang kemudian memberi mata demi mata kepada Chong Wei untuk menang 15-10, 15-11.
Dengan mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah, Chong Wei, yang turut mengalahkan Chulai pada peringkat yang sama di Sabah tahun lalu mendahului 6-4 dan 10-8 untuk memenangi set pertama dalam masa 18 minit.
Tan Fook-Wan Wah, pilihan ketiga menumpaskan Sang Yang-Zheng Bo dari China 15-9, 15-13.
Bin Shen-Soon Hock pula mencipta kejutan menyingkirkan beregu Thailand, Sudket Prapakamol-Patapol Ngernsrisuk 13-15, 15-13, 15-9.
Pertemuan Chong Wei-Chen Hong mengulangi perlawanan akhir Terbuka Malaysia tahun lalu apabila pemain negara itu tewas 9-15, 5-15.
Cheng Hong yang juga juara Terbuka Jepun mara selepas menyingkirkan bintang Singapura, Ronald Susilo 15-9, 15-11.
``Saya telah melihat banyak rakaman perlawanan yang melibatkan Bao Chunlai dan benar-benar bersedia untuk bertemunya,'' kata Chong Wei
``Saya juga kurang melakukan kesilapan berbanding ketika bertemunya buat kali pertama tahun lalu,'' katanya lagi.
Chong Wei bagaimanapun mengakui, dia agak keletihan pada penghujung perlawanan set kedua hingga memberi beberapa mata mudah kepada Chunlai.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan Chen Hong, Chong Wei berkata, dia akan cuba memberikan yang terbaik untuk memastikan bendera Malaysia terus berkibar sehingga ke perlawanan akhir, esok.
``Saya kalah kedua-dua pertemuan dengan Cheng Hong sebelum ini. Saya sedar dia adalah pemain yang sukar dikalahkan tetapi saya akan cuba memberi yang terbaik.''
Sementara itu pemain muda Korea Selatan, Park Sung-hwan membuat kejutan terbesar pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu apabila menundukkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China 15-12, 15-5.
Menanti Sung-hwan ialah juara dunia dan pilihan keenam, Xia Xuanze juga dari China. Xuanze menumpaskan pemain veteran Denmark, Peter Rasmussen 15-12, 12-15, 15-6 dalam laluan ke separuh akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan