Ahad, 30 April 2017

Chong Wei lepas peluang

ARKIB : 22/11/2004
LEE Chong Wei melepaskan peluang terbaiknya untuk merangkul kejuaraan antarabangsa kedua tahun ini apabila tewas 15-3, 15-17, 4-15 kepada pilihan kedua, Kenneth Jonassen dari Denmark pada perlawanan akhir badminton Terbuka Singapura semalam.
Malah, pasukan negara juga menamatkan cabaran bernilai AS$170,000 (RM646,000) itu tanpa sebarang gelaran selepas pasangan muda, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty turut tumpas 1-15, 4-15 kepada Nova Widianto-Lilyana Natsir dari Indonesia dalam beregu campuran.
Pada suatu ketika, kejuaraan kelihatan sudah terlalu hampir untuk digenggam oleh juara Terbuka Malaysia dan pilihan ke-10, Chong Wei apabila mendahului 15-3, 14-12.
Bagaimanapun dia melakukan kesilapan besar apabila membenarkan Jonassen mengejar kedudukan 14-14 untuk mengheret permainan ke deuce sebelum menang 17-15.
Hasrat untuk menyaksikan satu pertarungan sengit dan menarik berlaku di set penentuan tidak kesampaian apabila Chong Wei membenarkan lawan menguasai gelanggang dengan mudah.
Jonassen, 29, pemain nombor tiga dunia dan juara Terbuka Belanda mengutip empat mata berturut-turut daripada satu servis sebelum melebarkan jurang kepada 12-1, akhirnya 15-4.
``Peluang saya adalah pada kedudukan 14-12 di set kedua tetapi saya gagal menamatkan permainan. Pengalaman nyata membantu Kenneth untuk meneruskan permainan,'' kata Chong Wei.
``Selepas berhempas-pulas di set kedua, saya agak keletihan pada set terakhir dan kalah mudah perlawanan itu,'' katanya lagi.
Kenneth pula mengakui dia menghadapi masalah dengan permainannya pada dua set pertama tetapi hanya mahu menamatkan perlawanan.
``Saya cuma cuba bermain seselamat mungkin dengan mengelak daripada melakukan banyak kesilapan, ketika itu Lee (Chong Wei) nampak agak gemuruh,'' katanya yang membawa pulang hadiah utama AS$13,600 (RM51,680) selepas tamat perlawanan.
Walaupun gagal membawa pulang gelaran, Chong Wei, 22, perseorangan negara paling konsisten ketika ini mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang saingan di Stadium Tertutup Singapura.
Juara kebangsaan itu menundukkan pilihan pertama, Peter Gade-Christensen dari Denmark dan pilihan ketujuh, Bao Chunlai dari China di peringkat suku dan separuh akhir.
Pasangan Kien Keat-Pei Tty juga harus dipuji kerana kejayaan mara sehingga ke akhir, sekalipun tewas hanya dalam masa 20 minit semalam.
Sementara itu kejuaraan beregu lelaki menjadi milik pasangan Indonesia dan pilihan pertama, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto yang mengalahkan Jens Eriksen-Hansen Lungaard Martin dari Denmark 15-2, 15-9.
China pula terus menguasai saingan wanita dengan merangkul kejuaraan perseorangan menerusi juara dunia dan Olimpik, Zhang Ning yang mengalahkan rakan senegara, Zhou Mi 11-8, 11-1.
Manakala beregu nombor satu dunia dan juara Olimpik, Yang Wei-Zhang Jiewen menumpaskan pasangan Thailand, Sathinee Chankrachangwong-Saralee Thung-thongkam 15-5, 9-15, 15-11 untuk membawa pulang gelaran beregu.
KEPUTUSAN akhir:
LELAKI, perseorangan: Kenneth Jonassen (Den) kln LEE CHONG WEI (MAS) 3-15, 17-15, 15-4
Beregu: Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto (Ina) kln Jens Eriksen-Hansen Lungaard Martin (Den) 15-2, 15-9
WANITA, perseorangan: Zhang Ning (Chn) kln Zhou Mi (Chn) 11-8, 11-1
Beregu: Yang Wei-Zhang Jiewen (Chn) kln Sathinee Chankrachangwong-Saralee Thungthongkam (Tha) 15-5, 9-15, 15-11
Beregu Campuran: Nova Widianto-Lilyana Natsir (Ina) kln KOO KIEN KEAT-WONG PEI TTY (MAS) 15-1, 15-4

Tiada ulasan:

Catat Ulasan