Jumaat, 7 April 2017

Hafiz, Chong Wei mara ke suku akhir



ARKIB : 20/09/2003
DUA pemain perseorangan, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Chong Wei serta beregu Chan Chong Ming-Chew Choon Eng meneruskan cabaran negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Belanda di Maaspoort, Den Bosch, Belanda, kelmarin.

Hafiz yang ketandusan kejuaraan sejak menjuarai Seluruh England Februari lepas mara setelah menewaskan pemain tuan rumah, Dicky Palyama 15-10, 15-13.

Pemain pilihan keenam itu akan bertemu bintang Denmark, Anders Boesen untuk merebut tempat ke separuh akhir.

Boesen meneruskan kemaraannya setelah mengetepikan pemain India, Nikhil Kanetkar 15-12, 15-10.

Sementara itu Chong Wei yang muncul naib juara Terbuka Malaysia dua minggu lepas menempah tiket ke suku akhir kejohanan dua bintang bernilai AS$50,000 (RM190,000) dengan menyingkirkan pemain Denmark, Niels Christian Kaldau yang tewas 10-15, 4-15.

Kemaraan itu menyaksikan Chong Wei bertemu seorang lagi pemain Denmark, Kasper Fangel yang menyingkirkan Juergen Koch dari Australia dengan catatan 15-5, 15-11.

Satu lagi perlawanan suku akhir akan menyaksikan pertemuan juara Terbuka Switzerland, Lee Hyun Il dari Korea dengan pemain Jerman, Bjoern Joppien.

Hyun Il mara ke suku akhir setelah menewaskan rakan senegara, Park Sung Hwang 17-14, 15-7 sementara Joppien mengakhiri cabaran pemain Sweden, Rasmus Wengberg dengan 17-15, 15-12.

Dalam acara beregu, Chong Ming-Chong Eng meneruskan cabaran negara setelah menumpaskan pasangan Denmark, Janek Roos-Joachim Fischer.

Kedua-dua beregu bagaimanapun beraksi hingga ke set penentuan sebelum Chong Ming-Chong menang 15-10, 8-15, 15-3 untuk bertemu pasangan Korea, Yim Bong Eun-Kim Yong Hyun.

Pasangan Korea yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu mara setelah mengakhiri gandingan beregu dua negara, robert Blair dari England dan Dharma Gunawi dari Jerman. Bong Eun-Yong Hyun menang 15-13, 15-3.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4dZOu7Uwa© Utusan Melayu (M) B

Tiada ulasan:

Catat Ulasan