Jumaat, 7 April 2017

Chong Wei,Choong Hann buat kejutan



ARKIB : 27/09/2003

NAIB juara kejohanan badminton Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei mengejutkan pemain pilihan kedua pertandingan, Kenneth Jonassen pada pusingan ketiga Terbuka Denmark di Arena Aarhus, Arena, semalam.

Chong Wei mara setelah menang 10-15, 15-11, 15-7 ke atas pemain tuan rumah itu tetapi akan bertemu rakan senegara, Muhd. Roslin Hashim di suku akhir hari ini.

``Saya tidak sangka dapat menewaskan dia. Apa pun saya hanya mencuba yang terbaik dan ternyata ia berhasil

``Kemenangan ini mungkin disebabkan saya bermain tanpa mengira siapa lawan,'' katanya yang dipetik dari laman web Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), semalam.

Chong Wei berkata, dengan Roslin, dia akan meneruskan permainan sebagaimana yang dilakukannya semalam walaupun menghadapi rakan senegara.

``Saya tahu Roslin adalah pemain yang bagus tetapi saya akan bermain sedaya upaya untuk memastikan kemenangan.

``Kemenangan begitu bermakna bagi saya dan disebabkan itu, saya akan cuba meraihnya,'' katanya

Roslin menjadi pemain kedua daripada tiga wakil negara yang mara setelah mendapat kemenangan percuma daripada seorang lagi pemain Denmark, Peter Rasmussen.

Walaupun tewas 11-15 pada set pertama dan ketinggalan 3-8 pada set kedua namun Roslin di beri kemenangan setelah Rasmussen menarik diri akibat kecederaan kaki.

Keputusan itu menggembirakan ketua jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek.

``Kemenangan Roslin satu kelebihan untuk kami kerana dia akan bertemu Chong Wei sekali gus telah memastikan satu tempat di separuh akhir,'' katanya yang dipetik daripada lawan web sama.

Naib juara kejohanan dunia, Wong Choong Hann turut mara setelah menewaskan bintang Indonesia, Taufik Hidayat 15-5, 15-12.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimanapun menghadapi laluan sukar, bertemu pilihan pertama kejohanan, Chen Hong dari China di suku akhir hari ini.

Cabaran pemain beregu negara bagaimanpun berakhir lebih awal apabila pasangan muda, Gan Teik Chai dan Koo Klen Keat tewas seawal pusingan pertama kepada beregu China, Cai Yun-Fu Haifen 17-16, 15-10.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4daHok72v
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan