Jumaat, 28 April 2017

Chong Wei lebih tangkas

ARKIB : 20/09/2004
Koo Kien Keat (kiri) dan Chan Chong Ming meraikan kejayaan mereka muncul juara Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Terbuka Melaka 2004 di Tengkera setelah menumpaskan Tan Bin Shen Ong Soon Hock dalam perlawanan akhir semalam.



BEKAS juara perseorangan lelaki badminton Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim gagal menyekat ketangkasan pemain pilihan kedua, Lee Chong Wei apabila tewas 16-17, 5-15 pada perlawanan akhir Kejohanan Sirkit Kebangsaan Proton-EON 2004 Terbuka Melaka di Tengkera, semalam.

Hafiz yang membuat kejutan apabila menewaskan pemain pilihan pertama kejohanan, Wong Choon Hann di separuh akhir kelmarin, gagal mengulangi kecemerlangannya itu dan kalah dalam masa 40 minit.
Malah beliau yang mewakili Selangor juga gagal mengambil kesempatan untuk memenangi set pertama ketika mendahului servis semasa mata terikat 16-16 apabila hantarannya terkandas di jaring sedangkan Chong Wei sudah hampir tergelincir di atas gelanggang.
Chong Wei menguasai perlawanan set kedua dan menang mudah apabila Hafiz kerap membuat pukulan ke luar gelanggang.
Kemenangan itu membolehkan Chong Wei yang mewakili Pulau Pinang muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Sementara itu, Woon Sze Mei yang juga pilihan pertama kejohanan muncul sebagai juara Perseorangan Wanita Divisyen 1 apabila menewaskan pemain Sekolah Bukit Jalil, Julia Wong, 11-4, 11-5 dan membawa pulang habuan RM2,000.
Pasangan Koo Kien Keat/Chan Chong Ming pula menjuarai Beregu Lelaki Divisyen 1 apabila menundukkan Tan Bin Shen/Ong Soon Hock (BAM/Sel), 15-6, 13-15, 15-8.
Beregu Wanita Divisyen 1 pula menyaksikan pasangan Wong Pei Tty/Chin Eei Hui menang mudah untuk muncul juara apabila menundukkan Mooi Hing Yau/Ooi Sock Ai, 15-1, 15-3.
Sementara itu, Hafiz ketika ditemui selepas perlawanan tersebut mengakui Chong Wei yang berlatih bersama-sama dengannya bermain dengan baik dan menguasai perlawanan khususnya pada set kedua.
``Kalau saya boleh melakukan dengan baik ketika mata terikat 16-16, mungkin saya boleh menang perlawanan ini,'' ujarnya.
Chong Wei pula memberitahu, beliau dan Hafiz kini menggunakan khidmat jurulatih yang sama iaitu Misbun serta Rashid Sidek dan mereka kini menunggu keputusan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai kejohanan lain termasuk Terbuka China bulan depan.
KEPUTUSAN (Akhir)
DIVISYEN SATU
LELAKI Perseorangan - Lee Chong Wei (PP) kln Muhammad Hafiz Hashim (SEL) 17-16, 15-5.
Beregu (Divisyen 1) - Koo Kien Keat/Chan Chong Ming (BAM/PK/Sel) kln Tan Bin Shen/Ong Soon Hock (BAM/Sel) 15-6, 13-15, 15-8.
WANITA Perseorangan - Woon Sze Mei (BAM/Sel) kln Julia Wong (BJSS/MK), 11-4, 11-5.
Beregu - Wong Pei Tty/Chin Eei Hui kln Mooi Hing Yau/Ooi Sock Ai, 15-1, 15-3.
DIVISYEN DUA
LELAKI Perseorangan - Law Yen Thien (KL) kln Raymond Steven (KL), 10-15, 15-7, 15-9.
Beregu - Raymond Steven/Chong Kien Ling kln Goh Ying Jin/Chin Tze Seong (BJSS/Sel), 15-10, 15-6.
WANITA Perseorangan - Lydia Cheah (BJSS/KL) kln Ooi Swee Wen (BJSS/KD), 11-7, 11-7.
Beregu - Chong Vee Vian/Yeow Mie Yee (BJSS/PH/MK) kln Haw Chiou Hwee/Ooi Swee Wen (BJSS/JH/KD), 15-11, 15-6.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan